NATIONAL
Pembelian pesawat Boeing ikut prosedur, terma ditetapkan - Kamil Munim
Muhammad Kamil (tengah) ketika hadir pada Majlis Iftar Perdana dan Penyerahan Sumbangan Kasih MADANI Aidilfitri Parlimen Padang Rengas di Arena Square Masjid Al-Hadhari, pada Selasa. - Gambar Bernama
PADANG RENGAS: Pembelian pesawat baharu Boeing oleh Malaysia Aviation Group (MAG) dilaksanakan mengikut prosedur serta terma ditetapkan, kata Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim.
Beliau menafikan dakwaan pihak pembangkang kononnya pembelian pesawat berkenaan mempunyai kepentingan tertentu.
Muhammad Kamil berkata, pembelian pesawat itu tidak seharusnya dipersoalkan pembangkang memandangkan dilakukan mengikut pendekatan sedia ada yang telah diamalkan sejak kerajaan terdahulu.
"Proses pembelian kapal terbang ini memakan masa selain perlu diselaras mengikut harga dan sebagainya. Cuma, baru-baru ini ia dipersetujui oleh semua pihak.
"Sebelum ini pun memang dasar dan pendekatan kita menggunakan pesawat Boeing ini. Jadi, apa masalahnya dan tidak timbul isu pembelian pesawat ini ada kepentingan tertentu termasuk untuk (Perdana Menteri) jumpa Presiden Amerika Syarikat (AS)," katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau yang mendakwa pembelian 30 pesawat buatan AS itu berkemungkinan sebagai pertukaran bagi membolehkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu dengan Presiden AS, Donald Trump.
Pada 22 Mac lepas, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menjelaskan, pembelian pesawat itu adalah pelaburan untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pemain utama dalam industri penerbangan global.
Tengku Zafrul berkata, langkah itu turut menyokong operasi Boeing Composites Malaysia (BCM), yang menghasilkan struktur pesawat Boeing di Malaysia dan mempunyai kira-kira 1,000 pekerja rakyat tempatan setakat ini.
-- BERNAMA
#pembelian Boeing
#Malaysia Aviation Group
#Muhammad Kamil Abdul Munim
#PM Anwar Ibrahim
#Presiden Donald Trump