MALAYSIA

Pemberian Khas: Keputusan Kerajaan Persekutuan adalah titik pemulihan fiskal Sabah - Mustapha Sakmud

Firdaus Azil 11/11/2025 | 14:15 MYT
Mustapha menyifatkan keputusan Kerajaan Persekutuan untuk tidak merayu isu royalti 40 peratus Sabah sebagai langkah berani dan berprinsip, mencerminkan semangat MA63 dan keadilan sejati untuk rakyat Sabah.
KUALA LUMPUR: Keputusan Kerajaan Persekutuan untuk tidak membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berkaitan Pemberian Khas 40 peratus hasil Sabah menandakan titik pemulihan keadilan fiskal yang telah dinantikan hampir 50 tahun oleh rakyat Sabah.

Pengerusi Majlis Pimpinan Keadilan Negeri Sabah, Datuk Mustapha Sakmud dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, membuktikan komitmen Kerajaan Madani dalam menghormati semangat dan roh Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bukan sekadar di atas kertas, tetapi diterjemah dalam bentuk tindakan berani dan berprinsip.

“Keadilan Sabah menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri serta barisan Jemaah Menteri kerana membuat keputusan yang berlandaskan prinsip keadilan dan persekutuan sejati.

“Tindakan ini memperkukuh keyakinan rakyat Sabah bahawa kepimpinan PMX benar-benar memahami denyut nadi dan perjuangan rakyat negeri ini untuk mendapatkan hak yang telah sekian lama dinafikan,” katanya lagi.

Terdahulu Jabatan Peguam Negara (AGC) berkata, Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk tidak membuat rayuan terhadap Pemberian Khas Negeri Sabah dari tahun 1974 hingga 2021 berdasarkan 40 peratus hasil.

Bagaimanapun AGC berkata, pihaknya akan merayu terhadap kecacatan dalam Alasan Penghakiman tersebut.

"Antaranya dakwaan bahawa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah telah menyalahgunakan kuasa dan melanggar kewajipan perlembagaan.

"Alasan Penghakiman juga menyatakan bahawa Kajian Semula selepas tahun 2021 adalah menyalahi undang-undang, tidak rasional, terdapat ketidakaturan dari segi prosedur dan tidak berkadaran,” katanya lagi.

Dalam pada itu Mustapha yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tintti turut menyambut baik keputusan Kerajaan Persekutuan untuk memulakan rundingan dengan Kerajaan Negeri Sabah secara segera usai Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah, demi memastikan pelaksanaan mekanisme pengagihan 40% peratus hasil tersebut dapat dijalankan secara adil, telus dan mengikut lunas undang-undang.

“Keadilan Sabah menyeru agar rundingan ini dilaksanakan dengan semangat kerjasama dan keikhlasan antara kedua-dua kerajaan, tanpa sebarang permainan politik atau kepentingan sempit.

“Apa yang penting ialah memastikan hasil Sabah benar-benar kembali untuk pembangunan wilayah dan kesejahteraan rakyatnya.

“Langkah ini juga menutup lembaran panjang ketidakpastian sekaligus membuka era baharu hubungan Persekutuan–Sabah yang lebih matang, saling menghormati, dan berasaskan prinsip keadilan dalam perkongsian hasil mahsul Negara,” katanya lagi.






#Royalti 40 peratus Sabah #MA63 Sabah #Hak kewangan Sabah #Mustapha Sakmud