KUALA LUMPUR: Pemberian nombor akaun bank semata-mata tidak mempunyai elemen risiko yang boleh menyebabkan berlakunya kecurian, menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf.

Bagaimanapun, beliau berkata pemberian nombor akaun bank dengan kod pengesahan transaksi (TAC) atau kata laluan boleh menyebabkan akaun tersebut diakses secara dalam talian.

"Setakat nombor akaun ini tidak boleh buat apa-apa, untuk buat transaksi mengeluarkan duit perlukan prosedur lain yang memerlukan seseorang itu memberikan maklumat lebih daripada nombor akaun.

"Tiada apa-apa elemen risiko di situ tetapi apabila anda memberikan nombor akaun dan kata laluan, tentulah itu satu risiko besar," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai mesej tular melalui aplikasi WhatsApp sejak semalam yang mendakwa terdapat taktik penipuan dengan bertanyakan nombor akaun bagi memasukkan duit untuk pulang mengundi pada Pilihan Raya Umum.

Mesej itu mendakwa ada pihak yang tertipu dengan taktik tersebut sehingga kerugian RM1,900.

Selain itu, Ramli berkata pihak bank juga mempunyai ciri-ciri keselamatan seperti beberapa soalan atau kata kunci yang hanya diketahui pemilik akaun sebelum melakukan sebarang transaksi.

Menurutnya setakat ini, tiada laporan diterima pihaknya berhubung perkara berkenaan, namun menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dalam berkongsi maklumat bank kepada orang yang tidak dikenali.

-- BERNAMA