Pemberian vaksin untuk pelajar STPM akan disegerakan - Timbalan Menteri

Bernama
Julai 14, 2021 12:54 MYT
Calon-calon peperiksaan STPM akan menerima vaksin COVID-19 dengan syarat mendapat kebenaran daripada ibu bapa. - Gambar hiasan BERNAMA
KANGAR: Pemberian vaksin COVID-19 kepada calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) akan dipercepatkan dalam tempoh terdekat, kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim.
"Mengikut perancangan kita, pelajar yang akan berhadapan dengan peperiksaan STPM akan disegerakan kemudahan pemberian vaksin mereka," katanya kepada pemberita ketika melawat pusat pemberian vaksin (PPV) Dewan 2020 di sini hari ini.
Beliau berkata pihaknya juga telah mengeluarkan garis panduan untuk golongan yang berumur 18 tahun mendapatkan vaksinasi COVID-19.
"Walaupun tarikh lahir di kad pengenalan masih belum cukup 18 tahun tetapi dari segi tahun sudah berumur 18 tahun, mereka akan menerima vaksin dengan syarat mendapat kebenaran daripada ibu bapa," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, sehingga semalam sebanyak 80,780 orang atau 31 peratus rakyat Perlis telah menerima vaksin dos pertama manakala 57,628 orang lagi telah selesai menerima dos kedua iaitu 22 peratus.
- BERNAMA
#COVID-19 #vaksin COVID-19 #STPM #pelajar STPM #vaksinasi COVID-19