Pembiaya litigasi pihak ketiga antara fokus RUU Kekebalan Bidang Kuasa Asing bacaan kali kedua

Astro Awani
Mac 13, 2024 01:45 MYT
Azalina berkata tanpa kawal selia dan sistem pemantauan yang kukuh, tindakan oleh pihak tidak beretika ini boleh menggugat keselamatan sesebuah negara. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR : Pembiaya litigasi pihak ketiga yang tidak beretika berpotensi membawa ancaman serius terhadap kedaulatan dan negara.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, tanpa kawal selia dan sistem pemantauan yang kukuh, tindakan oleh pihak tidak beretika ini boleh menggugat keselamatan sesebuah negara.
"Meskipun peranan mereka dalam membantu pihak-pihak yang tidak mampu mendapatkan keadilan tidak boleh dinafikan.
"Namun ketidakwujudan suatu kerangka kawalan yang membolehkan pihak tidak bertanggungjawab untuk mengeksploitasi tuntutan perundangan yang remeh ataupun palsu, terutamanya yang melibatkan pihak yang terdiri daripada negara berdaulat, demi kepentingan dan keuntungan semata-mata bagi suatu pihak merupakan penyalahgunaan sistem perundangan.
"Tindakan ini bukan sahaja menggugat integriti sistem perundangan, tetapi juga boleh memberi kesan buruk kepada masyarakat dan negara secara keseluruhan," katanya menerusi perkongsian terbaharu di platform X pada Rabu.

Pembiaya litigasi pihak ketiga yang tidak beretika berpotensi membawa ancaman serius terhadap kedaulatan dan negara. Tanpa kawal selia dan sistem pemantauan yang kukuh, tindakan oleh pihak tidak beretika ini boleh menggugat keselamatan sesebuah negara. Meskipun peranan mereka pic.twitter.com/kfPBRir20Q

— Azalina Othman Said (@AzalinaOthmanS) March 13, 2024
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Justeru itu jelasnya, kawal selia yang ketat adalah wajar diwujudkan dalam memastikan kepentingan sesebuah negara dan rakyatnya sentiasa dipelihara.
"Dalam hal ini juga, saya akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kekebalan Bidang Kuasa Negara Asing 2023 bacaan kali kedua pada 18 Mac ini di Dewan Rakyat.
"RUU yang akan diperkenalkan buat kali pertama dalam sejarah Malaysia ini akan menerima pakai undang-undang adat antarabangsa (customary international law)," katanya.

Isnin ini, saya akan membawa Rang Undang-Undang Kekebalan Bidang Kuasa Negara Asing 2023 untuk bacaan kedua. Rang Undang-Undang ini adalah sangat penting untuk negara kita. Jadi saya mohon kawan-kawan di luar sana ikuti perbahasan saya pada hari Isnin ini. pic.twitter.com/MpMYETt7KX

— Azalina Othman Said (@AzalinaOthmanS) March 12, 2024
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
29 November lalu, RUU tersebut dibentangkan buat pertama kali yang antara lain bertujuan mengawal selia kekebalan yang diberi kepada sesebuah negara asing dan hartanya, ketua negara dan ketua kerajaan daripada bidang kuasa mahkamah Malaysia.
Akta itu juga bertujuan tiada tindakan praperbicaraan boleh dibawa, dimulakan atau dikekal terhadap harta sesebuah negara di hadapan mana-mana mahkamah, kecuali jika negara berkenaan bersetuju dengan pengambilan tindakan itu sebagaimana diperuntukkan dalam perjanjian antarabangsa.
Ia termasuk sebarang perjanjian timbang tara atau dalam kontrak bertulis, pengisytiharan di hadapan mahkamah, komunikasi bertulis selepas pertikaian antara pihak timbul atau negara berkenaan sudah memperuntukkan harta itu bagi menunaikan tuntutan yang menjadi matlamat prosiding.
#Azalina Othman Said #Dewan Rakyat #integriti #Rang Undang-Undang