Apa yang Anda Dapat daripada Bajet 2026? STR, SARA, Bantuan Ibu Tunggal, Pelajar & Banyak Lagi – Semak Analisis Penuh di Sini!
MALAYSIA

Pembinaan 38 sekolah baharu perlu selari dengan pengambilan guru - NUTP

Bernama 11/10/2025 | 14:15 MYT
Fouzi berkata NUTP berharap unjuran pembinaan sekolah baharu berkenaan diselarikan dengan unjuran pengambilan guru supaya sekolah baharu tidak berdepan dengan isu kekurangan tenaga pengajar. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Pembinaan 38 sekolah baharu yang diumumkan dalam Belanjawan 2026 selaras dengan pertumbuhan kawasan perumahan baharu serta peningkatan populasi murid di kawasan sedia ada yang padat.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) Fouzi Singon berkata NUTP berharap unjuran pembinaan sekolah baharu berkenaan diselarikan dengan unjuran pengambilan guru supaya sekolah baharu tidak berdepan dengan isu kekurangan tenaga pengajar.

"Pada tahun sebelumnya, sebanyak 44 sekolah baharu telah diluluskan, dan penambahan 38 lagi pada tahun ini membuktikan bahawa pelaburan terhadap pendidikan terus menjadi keutamaan negara," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata NUTP turut menzahirkan penghargaan atas peruntukan RM700 juta bagi pembinaan 35 blok tambahan bagi menampung keperluan murid pendidikan khas di seluruh negara.

"Ini mencerminkan peningkatan kesedaran dan keprihatinan terhadap keperluan murid berkeperluan khas (MBK). Namun, NUTP mencadangkan supaya pemilihan lokasi pembinaan kelas dan blok tambahan ini mengambil kira akses jalan utama serta kemudahan mesra Orang Kurang Upaya (OKU).

"NUTP juga menyokong keputusan kerajaan mengekalkan elaun murid berkeperluan khas sebanyak RM150 yang terus membantu meringankan tanggungan keluarga," katanya.

Fouzi turut menyifatkan penetapan peruntukan khas bagi latihan guru sebanyak RM115 juta, khususnya bagi persediaan pelaksanaan Kurikulum 2027 dan pedagogi Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sebagai langkah yang tepat pada masanya.

Beliau berkata NUTP berharap dana itu digunakan dengan berkesan supaya guru benar-benar memahami perubahan kurikulum yang akan diperkenalkan selain mencadangkan sesi libat urus bersama ibu bapa diadakan bagi memastikan pelaksanaan kurikulum baharu dapat difahami dan diterima masyarakat.

NUTP turut berharap kerajaan mengkaji semula peruntukan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) selaras dengan jumlah peningkatan murid, selain mempertimbangkan penyelenggaraan rumah guru terutama di kawasan pedalaman.

"Secara keseluruhannya, Belanjawan 2026 menggambarkan keprihatinan berterusan Kerajaan MADANI terhadap pendidikan. Peningkatan peruntukan dan kesinambungan program utama seperti Rancangan Makanan Tambahan, Bantuan Awal Persekolahan dan pembangunan sekolah membuktikan bahawa pendidikan kekal sebagai agenda nasional yang utama.

"NUTP komited untuk terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan bagi memastikan setiap inisiatif dilaksanakan dengan berkesan demi manfaat guru dan murid di seluruh negara.

Ketika membentangkan Belanjawan 2026 bertemakan 'Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat' di Dewan Rakyat semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Kementerian Pendidikan menerima RM66.2 bilion tahun depan berbanding RM64.2 bilion tahun ini.

-- BERNAMA



#NUTP #OKU #Belanjawan 2026 #STEM