Pembinaan negara bangsa fokus utama KPN kukuhkan perpaduan rakyat

Aaron (tengah) bergambar pada sesi ramah mesra bersama pengamal media di sebuah hotel hari ini. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) meletakkan pembinaan negara bangsa sebagai objektif utama tahun depan bagi mengukuhkan perpaduan rakyat melalui pembentukan identiti nasional bersama.
Ringkasan AI
- Kementerian Perpaduan Negara menetapkan pembinaan negara bangsa sebagai objektif utama tahun depan bagi mengukuhkan perpaduan rakyat melalui identiti nasional bersama.
- Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, menegaskan bahawa pembinaan negara bangsa perlu digerakkan daripada peringkat akar umbi, khususnya melalui sistem pendidikan, dengan elemen penting termasuk bahasa, pakaian, nilai, dan sejarah.
- Inisiatif untuk memperkukuh perpaduan termasuk Program Gerak Integrasi Perpaduan (GRIP) di sekolah, program silang budaya, serta Liga Sukan Uniti yang akan dianjurkan semula tahun depan bagi melibatkan generasi muda dan pelbagai kaum dalam aktiviti sukan tradisional untuk mengeratkan perpaduan.
"Apabila kami menerima konsep negara bangsa, kami akan menjadi sebuah negara yang bersatu dengan identiti sendiri sebagai rakyat Malaysia. Itu matlamat akhirnya," katanya pada majlis ramah mesra bersama media di sini hari ini.
Aaron berkata pembinaan negara bangsa bukan konsep baharu, sebaliknya projek jangka panjang yang perlu digerakkan daripada peringkat akar umbi, khususnya melalui sistem pendidikan.
"Malaysia ialah negara majmuk. Kami tidak menafikan kepelbagaian, tetapi kami memerlukan identiti bersama sebagai rakyat Malaysia. Bahasa, pakaian, nilai dan kefahaman terhadap sejarah adalah elemen penting dalam pembentukan identiti nasional," katanya.
Beliau berkata golongan belia, khususnya generasi Z perlu diberikan pendedahan berterusan mengenai semangat kenegaraan menerusi program yang lebih berstruktur di sekolah dan institusi pengajian tinggi.
Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk Program Gerak Integrasi Perpaduan (GRIP) di peringkat sekolah, program silang budaya melibatkan pelajar dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak, selain program kesukarelawan dan kepimpinan di universiti.
Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Perancangan Strategik) KPN Mohammad Sobri Mat Daud berkata Liga Sukan Uniti akan dianjurkan semula tahun depan dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS), selepas tidak diadakan tahun ini.
Beliau berkata perbincangan awal telah diadakan bersama KBS, yang menguruskan bajet sukan bagi merancakkan semula usaha perpaduan di peringkat akar umbi melalui penyertaan inklusif daripada masyarakat pelbagai kaum.
"Kami akan mulakan di peringkat komuniti, insya-Allah jika bajet mencukupi. Pemenang akan mara ke peringkat negeri dan seterusnya kebangsaan. Kami mahu menarik penyertaan generasi muda dan pelbagai kaum bagi mengeratkan perpaduan serta memperkenalkan semula sukan-sukan tradisional rakyat di peringkat komuniti," katanya.
Beliau berkata penambahan sukan rakyat sedang diteliti mengikut kesesuaian, dengan sepak takraw antara sukan baharu yang dijangka dipertandingkan selain sukan sedia ada seperti badminton, bola jaring dan bola keranjang.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


