SIK: Seorang pembuat batu nisan maut selepas motosikal yang ditungganginya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 20 Simpang Tiga Cemara Jalan Jeniang - Sik, hari ini.

Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdull Razak Osman berkata, dalam kejadian pukul 12.30 tengah hari itu, mangsa, Mohamad Eyzat Danish Ismail, 18, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.

Beliau berkata, mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 dikatakan dari arah Jeniang menghala ke Kampung Cemara manakala seorang lelaki memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza datang dari arah Sik menghala ke Jeniang.



Sebaik tiba di tempat kejadian, pemandu Toyota Avanza terbabit tiba-tiba membelok ke kanan untuk masuk ke simpang Kampung Cemara.

Akibat jarak yang terlalu dekat, mangsa tidak sempat membrek lalu melanggar bahagian sebelah kiri kereta terbabit.

Akibat pelanggaran itu mangsa terpelanting ke tengah jalan dan maut di tempat kejadian.

Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sik untuk bedah siasat.

Manakala pemandu Toyota Avanza berusia 74 tahun itu mengalami kecederaan ringan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.