Pembuatan sarung getah dominasi industri pembuatan getah asli

Astro Awani
Mei 8, 2020 07:00 MYT
Pembuatan sarung tangan getah kekal mendominasi industri pembuatan getah asli dengan penggunaan sebanyak 34,086 tan metrik.. - Gambar fail
Pembuatan sarung tangan getah kekal mendominasi industri pembuatan getah asli dengan penggunaan sebanyak 34,086 tan metrik atau 80.7 peratus.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, angka itu diperolehi daripada jumlah keseluruhan penggunaan domestik bersamaan 42,244 tan metrik pada Mac 2020.
Jelasnya, jumlah penggunaan getah asli di peringkat domestik ialah 42,244 tan metrik, meningkat sebanyak 1.8 peratus berbanding bulan sebelumnya.
”Bagaimanapun, pengeluaran getah asli Malaysia pada Mac 2020 menurun kepada negatif 23.3 peratus kepada 35,961 tan metrik berbanding 46,881 tan metrik pada Februari 2020. Penurunan pengeluaran getah turut dipengaruhi oleh pelaksanaan PKP Fasa Satu di mana penoreh tidak keluar menoreh di samping faktor wintering period yang masih berlaku.
“Eksport getah asli Malaysia berjumlah 45,198 tan metrik, menurun sebanyak 12.8 peratus berbanding 51,852 tan metrik pada Februari 2020.
“Destinasi utama eksport getah asli adalah China iaitu 41.8 peratus daripada jumlah eksport pada Mac 2020,” katanya.
Angka itu diikuti Jerman (9. peratus), Iran (5.8 peratus), Amerika Syarikat (5. peratus) dan Brazil (3.3 peratus).
Eksport tertinggi adalah bagi item sarung tangan dengan nilai RM1.78 bilion iaitu peningkatan 11.9 peratus berbanding Februari 2020.
Selain itu katanya, berlaku peningkatan kepada eksport kondom (21.7 peratus) dan tiub (19.3 peratus) dengan nilai masing-masing sebanyak RM28.6 juta dan RM0.8 juta bagi tempoh yang sama.
“Kenaikan ini antaranya disebabkan oleh pelaksanaan lockdown akibat COVID-19 yang berlaku.
“Harga purata bagi lateks pekat pada Mac 2020 ialah 435.66 sen (RM4.36) sekilogram berbanding 456.73 sen (RM4.57) sekilogram pada bulan sebelumnya.
“Harga purata Getah Mutu Malaysia 20 (G.M.M. 20) menurun kepada 517.45 sen (RM5.17) sekilogram berbanding dengan 529.68 sen (RM5.30) sekilogram pada Februari 2020”, katanya lagi.
#Brazil #China #Getah #Iran #Jerman #komoditi #PKP