Pembubaran DUN Sabah: Mahkamah Tinggi tolak permohonan 33 wakil rakyat

Syah Hairizal Kamalul Arifin, Assim Hassan, Ruzaini Zulkepli
Ogos 21, 2020 02:29 MYT
Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu. - Gambar fail
Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu hari ini menolak kes semakan kehakiman berhubung 33 wakil rakyat yang mencabar pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
Penetapan berkenaan dibuat Pesuruhjaya Kehakiman Leonard David Shim selepas sesi prosiding di Bilik Bicara Mahkamah Persekutuan Rayuan, di sini.
Menurut Peguam Besar Negeri Sabah, Brenndon Keith Soh ketika ditemui, mahkamah itu menetapkan keputusan Yang DiPertua Negeri (TYT) Tun Juhar Mahiruddin menggunakan kuasa budi bicara dan tidak boleh dicabar.
"Mahkamah telah menolak kes cabaran terhadap responden, tiada permohonan semakan semula kerana mahkamah mendapati keputusan TYT tidak boleh diadili.
"Mahkamah mengambil tindakan berhati-hati untuk membuat sebarang keputusan dan keputusan itu tidak melanggar perlembagaan negeri dan cabaran pembubaran itu tidak terpakai di mahkamah," katanya.
LAPOR LANGSUNG Mahkamah tolak kes cabar pembubaran DUN Sabah
Selain itu, Keith menjelaskan, keputusan mahkamah hari ini menyaksikan perlembagaan Sabah dipertahankan tanpa prejudis.
"Hari ini bukan tentang peguam, bukan tentang pihak-pihak kes ini, hari ini adalah tentang menegakkan perlembagaan di Sabah, tentang rakyat Sabah.
"Hari ini bukti demokrasi masih wujud di Sabah," katanya.
Pada 29 Julai, 33 Ahli DUN (ADUN) termasuk bekas Ketua Menteri Sabah yang juga ADUN Sungai Sibuga Tan Sri Musa Aman, mendakwa mereka membentuk majoriti di DUN.
Sehubungan itu, mereka mahu Juhar mengadakan majlis angkat sumpah kerajaan baharu, sekali gus menumbangkan kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Sejurus selepas keputusan disampaikan hari ini, kesemua 33 ADUN terbabit memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkenaan.
#ADUN #Brenndon Keith Soh #bubar #cabaran #demokrasi #DUN Sabah #Ketua Menteri #Mahkamah Persekutuan #Mahkamah Persekutuan Rayuan #Mohd Shafie Apdal #Musa Aman #peguam #Perlembagaan #rakyat #rayuan #Shafie Apdal