KUALA LUMPUR:Pembubaran Parlimen pada 1999 ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad boleh berulang sekiranya Perdana Menteri ketika ini tidak merasakan mendapat sokongan terhadap Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat.

Menurut penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Sivamurugan Pandian, langkah itu boleh diambil kerajaan pemerintah jika Belanjawan 2021 tidak mendapat sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

"Apa yang berlaku pada tahun 1999, pada 11 November, pengumuman dilakukan bekas Perdana Menteri bahawa pembubaran akan mengambil tempat.

“Itu kali pertama dalam sejarah sidang Parlimen dibubarkan, membabitkan Belanjawan yang sudah dibentangkan itu terhenti sehingga selepas keputusan pilihan raya (diumumkan) (dan) Belanjawan dibentangkan sekali lagi.

"Bermakna apakah keadaan itu boleh berulang? Keadaan itu boleh berulang kalau kerajaan masih belum mendapat sokongan dan merasakan bahawa itu langkah terbaik daripada membiarkan ia dibentangkan untuk penggulungan dan melihat tidak ada sokongan," katanya ketika ditemu bual oleh Astro AWANI pada Isnin.

Selain itu, Perdana Menteri juga boleh menasihatkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk membubarkan Parlimen atau melantik seorang Perdana Menteri yang baharu untuk memastikan kerajaan sedia ada berfungsi.

"Kedua, jika tiada sokongan sudah pasti itu akan diandaikan oleh beberapa pihak seolah-olah itu adalah soal keyakinan dan kepercayaan ke atas kepimpinan hari ini dan mungkin Perdana Menteri akan menasihat Yang di-Pertuan Agong sama ada membubarkan Parlimen atau melantik seorang Perdana Menteri baharu.

"Ini tidak bermakna kerajaan jatuh, kerajaan masih akan berfungsi dan dalam waktu sama Perdana Menteri boleh menolak bahawa jika tidak berjaya di Parlimen tidak bermakna kerajaan tidak mempunyai legitimasi.

"Malahan boleh diusulkan kepada darurat, bermaksud tanggungjawab untuk mendapatkan perhatian persetujuan ke atas Belanjawan ini berpindah kepada Yang di-Pertuan Agong, ini beberapa perkara boleh berlaku," katanya lagi