MIRI: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri hari ini memutuskan untuk menangguhkan pembukaan sesi persekolahan bersemuka bagi 45 sekolah rendah di bawah pentadbiran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Miri.

Arahan itu berkuat kuasa selama seminggu bermula pada 22 sehingga 28 Mac 2021.

Menteri Penyelaras JPBB Miri, Datuk Lee Kim Shin menjelaskan tindakan itu dibuat setelah Miri mencatatkan penambahan kes positif COVID-19 yang ketara dan melibatkan kakitangan serta pelajar sekolah.

"Dalam tempoh lima hari sejak Ahad hingga semalam Miri mencatatkan pertambahan 209 kes selain kes tertinggi di Sarawak pada 17 Mac lalu dengan 88 kes.

"Daripada jumlah itu sebanyak 18 atau sembilan peratus kes positif adalah terdiri daripada murid-murid sekolah-sekolah rendah, menengah serta guru manakala seramai 55 orang dikesan sebagai kontak rapat yang juga menjangkiti individu dari kelompok yang sama,” katanya dalam satu kenyataan JPBB Miri pada Jumaat.

Sementara itu Kim Shin menambah, perkara itu telah diperincikan bersama Pegawai PPD Miri dan tempoh penangguhan itu akan bersambung dengan cuti sekolah selama seminggu.

Selain itu, JPBB Miri memutuskan bahawa operasi persekolahan di daerah Subis berjalan seperti biasa.