KUALA LUMPUR: Pembukaan sempadan Malaysia-Singapura selepas pandemik COVID-19 sejak dua tahun lalu amat dinantikan semua pihak terutamanya sektor peniagaan kedua-dua negara.

Menurut Presiden Dewan Perniagaan Digital Malaysia (DPDM), Chris Daniel Wong, dengan pengumuman pembukaan sempadan kedua negara bermula 29 Mac depan, ia dijangka mengembalikan semula pertumbuhan ekonomi negara.

"Memang kita sambut baik berita ini gembira sebab sudah lama kita tunggu. Dengan pembukaan sempadan kedua-dua negara, kita dapat merancakkan pertumbuhan ekonomi digital dan juga pelancongan.

"Tetapi kalau kita sebut tentang digital, dan penggalakan ekonomi, kita boleh berjumpa dengan rakan niaga kita di Singapura dan Malaysia.. jadi berita ini kita sambut dengan baik," jelasnya ketika ditemu bual Astro AWANI pada Khamis.

Jelasnya, ratusan ribu pekerja Malaysia akan kembali bekerja di sektor ekonomi Singapura, sekali gus menyuntik Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

"Apabila sempadan ini dilonggarkan sama sekali, tenaga kerja boleh bekerja semula di Singapura. Ini boleh menggalakkan pertumbuhan ekonomi dalam sektor peruncitan.

"Wang yang telah mereka dapat boleh dibelanjakan balik ke dalam negara. Ini sekali gus menyuntik kepada KDNK negara kita. Memang kita sambut baik sempadan dibuka seperti pra-pandemik," katanya lagi.

Bagaimanapun ujarnya, setiap rakyat Malaysia yang bekerja di negara itu, seharusnya membuat persiapan awal termasuk mengambil langkah berjaga-jaga dan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) seperti di Malaysia.

Tambahnya, meskipun pelbagai kelonggaran telah diumumkan di negara itu, namun langkah pencegahan lebih optimum disarankan diambil pekerja Malaysia di Singapura agar terhindar daripada mendapat jangkitan COVID-19.

"Saya percaya apabila kita buka sempadan, naluri manusia apabila dibuka kita perangai kita seperti biasa kita akan berjumpa orang dan bersalaman, serta tidak memakai pelitup muka.

"Tetapi pentingnya kita kena amalkan SOP seperti biasa, walaupun di Singapura pelitup muka tidak lagi mandatori (di tempat terbuka), tetapi apabila rakyat Malaysia ke sana, kita galakkan.

"Sepertimana yang dalam pengumuman tadi (Perdana Menteri Singapura), kebanyakan kes di Singapura adalah kes dalaman, bukan kes dibawa daripada luar. Jadi kita berharap kita orang Malaysia ke Singapura, kita amalkan SOP sepertimana kita amalkan di Malaysia sebab kita tidak mahu bawa varian Omicron itu balik ke Malaysia. Situasi sama oleh rakyat Singapura ke Malaysia," jelasnya lagi.

Pelabur asing

Dalam pada itu mengulas lanjut jelas Chris, pembukaan sempadan negara itu juga perlu diambil peluang oleh pihak berwajib dalam menarik lebih ramai pelabur asing masuk ke Malaysia bagi meningkatkan Indeks Pelaburan. 

"Harapan saya dan DPDM agar pihak MIDA boleh mendekati pelabur dari Singapura untuk datang kembali ke Malaysia dan melihat apa jenis perniagaan mereka boleh labur, supaya dolar Singapura dilaburkan di Malaysia.

"Kita kembangkan semula perniagaan di Malaysia, sepertimana pra-pandemik pada tahun 2018-2019, unjuran indeks pelaburan di Malaysia agak tinggi.

"Tetapi setelah pandemik, unjuran itu rendah dan jatuh. Kita kena kembalikan semula indeks pelaburan ke tahap tinggi dan kembalikan semula keyakinan pelabur asing di negara kita," jelasnya lagi.

Terdahulu, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dalam pengumuman pada Khamis memaklumkan negara itu akan menghapuskan hampir semua sekatan syarat perjalanan bagi pelancong dan pengembara ke Singapura ke paras sebelum pandemik.

Jelasnya, ia kerana kes di singapura sebahagian besar disumbang oleh jangkitan tempatan.