Skip to main content

Malaysia

Pembukaan Pusat Hemodialisis Maran ringankan beban pesakit - Dzulkefly

Mengakhiri siri lawatan kerja di Negeri Pahang semalam, saya telah meluangkan masa meninjau pengoperasian dan menyempurnakan pelancaran Pusat Hemodialisis Maran. Pembukaan pusat ini bukanlah sekadar penambahan infrastruktur fizikal, sebaliknya ia adalah terjemahan langsung kepada falsafah keprihatinan Kerajaan MADANI dalam memastikan akses kesihatan yang berkualiti dibawa lebih dekat kepada denyut nadi rakyat. -- FB Dr Dzulkefly Ahmad
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata pembukaan pusat itu merupakan terjemahan falsafah keprihatinan Kerajaan MADANI dalam memastikan akses kesihatan berkualiti dibawa lebih dekat kepada rakyat. - Foto Facebook Dzulkefly Ahmad

KUALA LUMPUR: Sebanyak 325 pesakit buah pinggang di daerah Maran kini menikmati kemudahan rawatan lebih dekat berikutan pembukaan Pusat Hemodialisis Maran sejak 6 April lepas.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata pembukaan pusat itu merupakan terjemahan falsafah keprihatinan Kerajaan MADANI dalam memastikan akses kesihatan berkualiti dibawa lebih dekat kepada rakyat.

Beliau berkata sebelum ini, pesakit di daerah berkenaan terpaksa menempuh perjalanan jauh ke Temerloh yang terletak sejauh 51 kilometer (km) atau ke Kuantan (79 km) bagi mendapatkan rawatan berterusan.

“Kesukaran ini pastinya membebankan pesakit dan waris, baik dari segi emosi, masa, mahupun kos kewangan.

“Dengan siapnya projek bernilai RM4.62 juta ini yang telah mula beroperasi sejak 6 April 2026, bebanan mereka kini dapat diringankan secara signifikan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.

Katanya pusat satelit berkapasiti sembilan unit mesin hemodialisis yang beroperasi dua sesi sehari itu  memfokuskan rawatan bagi pesakit tahap lima yang stabil dan ia merupakan langkah strategik untuk membantu mengurangkan kesesakan di unit dialisis hospital utama.

Beliau berkata selain prosedur rawatan fizikal, fasiliti mesra Orang Kurang Upaya (OKU) itu turut menawarkan penjagaan holistik merangkumi perkhidmatan pemantauan kesihatan, kaunseling serta pendidikan kesihatan.

Dzulkefly berkata menjadi iltizam Kementerian Kesihatan (KKM) untuk membina ekosistem penjagaan kesihatan yang cekap dan profesional, selamat serta penuh sifat ihsan.

“Kelangsungan rawatan kini lebih mudah, dekat dan selesa bagi komuniti di daerah ini. KKM akan terus berikhtiar bagi memastikan tiada marhaen yang terpinggir daripada mendapat hak perlindungan kesihatan yang saksama dan bermaruah,” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video