KUALA LUMPUR: Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya kembali beroperasi hari ini dengan stabil, walaupun terdapat gangguan sementara kepada sistem keselamatan bukan kritikal.

Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) dalam satu kenyataan berkata, gangguan itu berlaku jam 12.43 tengah hari yang menjejaskan beberapa stesen di sekitar Stesen Damai.

"Namun ia telah dipulihkan dalam masa 15 minit. Pihak Rapid Rail memohon maaf kepada penumpang-penumpang yang terjejas.

"Kelancaran keseluruhan sistem LRT Laluan Kelana Jaya akan terus dipantau oleh pakar teknikal Rapid Rail bagi memastikan operasi dan sistem kekal stabil serta selamat untuk semua pengguna," katanya hari ini.

Dalam pada itu, secara keseluruhan, pergerakan penumpang perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya di stesen-stesen utama lancar, walaupun ketika waktu puncak.

"Kesesakan penumpang di stesen-stesen telah berkurangan namun polis bantuan, pegawai-pegawai stesen dan juga kakitangan Prasarana masih memantau keadaan.

"Sebagai langkah persediaan, sejumlah 92 bas perantara percuma diaktifkan untuk memberi pilihan alternatif serta kemudahan kepada orang awam.

"Perlaksanaan pampasan kepada penumpang LRT Laluan Kelana Jaya seperti yang telah diumumkan juga bermula pada hari ini (Isnin) dan kakitangan stesen telah membantu memberi penerangan kepada penumpang.

"Setakat jam 4 petang, operasi perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya adalah stabil," katanya.

Kata kenyataan itu, Prasarana dan Rapid Rail sekali lagi berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang menggunakan pengangkutan awam.

"Kami memberi jaminan untuk menyediakan perkhidmatan yang terbaik untuk semua.

"Untuk sebarang maklumat, sila hubungi kami di [email protected] atau hubungi kami di 03-7885 2585 pada hari Isnin hingga Jumaat, dari 7.00 pagi hingga 8.30 malam, Sabtu hingga Ahad dan Cuti Umum dari 7.00 pagi hingga 5.30 petang.

"Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat terkini melalu saluran media sosial Rapid KL ataupun melalui aplikasi PULSE," katanya.