KELUARGA Allahyarham Along Spoon mengambil pendekatan kunci mulut berhubung pembebasan bekas anggota polis, Mohd Ya'cob Demyati, 57, dari Penjara Kajang pada Khamis.

Seorang ahli keluarga Allahyarham yang enggan dikenali berkata, dia tidak mengetahui apa-apa mengenai kes berkenaan dan tidak dapat memberikan sebarang komen.

"Saya tak tahu (Mohd Ya'cob dibebaskan).

"Nak ulas lebih pun tak boleh sebab saya masih kecil ketika kes ini berlaku," ujarnya ringkas kepada Sinar Harian.

BACA: Pembunuh Along Spoon bebas hari ini

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan Putrajaya meminda hukuman penjara sepanjang hayat yang dijatuhkan terhadap Mohd Ya’acob kepada pemenjaraan 33 tahun dan dibebaskan hari ini kerana sudah dikira selesai menjalani hukuman itu.

Dalam prosiding hari ini, keputusan sebulat suara itu dibuat panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada pada hari kedua persidangan hari ini selepas empat bulan penguatkuasaan Akta Pemansuhan Hukuman Mati 2023.

Mengikut pertuduhan, Mohd Ya’cob yang merupakan anggota cawangan pengawal pengiring Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dituduh membunuh Sabi’ul Malik, 19, di tepi jalan di Kilometer 28 Jalan Kuala Klawang-Genting Peras, Jelebu pada pukul 1 pagi, 26 Disember 1999.

Sebelum ini, Along dilaporkan hilang pada 25 Disember 1999.

Polis kemudian menjumpai rangka manusia yang diikat dalam guni di lereng bukit di Jalan Kuala Klawang pada 6 Januari 2000. - Sinar Harian