MALAYSIA
Pemegang lesen PSV, GDL yang digantung wajib hadir kursus pemulihan - JPJ

Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli (tengah) pada sidang media selepas sesi libat urus bersama Persatuan Pengusaha Lori dan Pengusaha Bas Ekspres dan Pelancongan berkaitan inisiatif keselamatan jalan raya. - Foto BERNAMA
BANGI: Pemegang Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) dan Lesen Kenderaan Barangan (GDL) yang digantung akan diwajibkan menghadiri kursus dilaksanakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebelum lesen dikembalikan.
Ringkasan AI
- Pemegang lesen PSV dan GDL yang digantung wajib hadir kursus pemulihan oleh JPJ sebelum lesen dikembalikan.
- Kursus ini bertujuan mengingatkan pemandu tentang keselamatan dan peraturan jalan raya, dan dijangka mula secara rintis November ini.
- JPJ juga sedang rombak sistem KEJARA bagi pastikan hanya pemandu layak dibenarkan di jalan raya.
“Kita sedang meneliti beberapa perkara lagi bersama Kementerian Pengangkutan untuk kita laksanakan program ini. Kursus ini akan menyentuh semula aspek pematuhan peraturan dan keselamatan jalan raya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas sesi libat urus bersama Persatuan Pengusaha Lori dan Pengusaha Bas Ekspres dan Pelancongan berkaitan inisiatif keselamatan jalan raya, di sini, pada Khamis.
Jelasnya, beberapa perkara mengenai kursus pemulihan seperti membabitkan modul atau latihan akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.
Aedy menambah, penggantungan lesen PSV dan GDL dilakukan berdasarkan proses penilaian selepas pemandu atau syarikat pengendali diberi notis tunjuk sebab.
"Pengarah JPJ negeri diberi kuasa menilai dan menentukan sama ada lesen berkenaan digantung atau tidak. Tempoh penggantungan juga bukan kekal, ada kategori bergantung kepada kes.
“Pemandu kenderaan berat sekarang, apabila mendapat saja lesen PSV dan GDL, mereka terus boleh memandu dan mereka tidak ada latihan lanjutan.
“Kita melihat pentingnya latihan lanjutan dan juga kursus pemulihan ini untuk mengingatkan semula pemandu dengan peraturan kerana mungkin ada yang lupa,” ujarnya.
Mengenai sistem KEJARA, beliau berkata, rombakan besar-besaran terhadap sistem itu kini di peringkat akhir penilaian sebelum dikemukakan semula kepada Kementerian Pengangkutan.
Katanya, ia sebelum ini sudah dua kali dibentang kepada menteri bertanggungjawab dan terdapat beberapa pindaan kaedah mata demerit yang perlu diteliti kerana membabitkan perundangan, serta memakan masa.
"Objektif utama keseluruhan usaha ini adalah meningkatkan pematuhan undang-undang, mengurangkan risiko kemalangan dan memastikan hanya pemandu yang benar-benar layak dibenarkan berada di jalan raya," katanya lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami