Pemergian Dr Md. Farid satu kehilangan besar - Waytha Moorthy

Abdul Hadi Che Awang
September 21, 2019 05:38 MYT
Menurut Waytha, adalah seorang yang komited dan bekerja keras untuk menghadiri banyak aktiviti. - Gambar fail
Pemergian Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Dr Md. Farid Md Rafik, 42, yang merupakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri merupakan satu kehilangan besar kepada kementerian terbabit terutama bagi portfolio Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial.
Jelas menterinya, P. Waytha Moorthy, Allahyarham adalah seorang individu yang sangat bekerja keras dan komited dalam menjalankan tugas serta amanah yang diberikan sebagai seorang Timbalan Menteri.
Beliau turut menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Dr Farid dan berharap agar mereka sentiasa bersabar dengan pemergiannya..
"Pemergian beliau adalah satu kehilangan yang besar kepada Jabatan Perpaduan dan Kesejahteraan Sosial, beliau adalah seorang yang komited, bekerja keras untuk hadiri banyak aktiviti, jadi saya juga ambil kesempatan ini untuk ucapkan takziah kepada keluarga beliau," katanya ketika ditemui media selepas Majlis Pelepasan Walk For Peace di Taman Jubli Emas, Suka Menanti, pada Sabtu.
BACA: 'Itu kehendak Allah' - Ibu Md Farid reda pemergian anak sulung
BACA: Bersatu jangan bercakaran sesama sendiri, pesanan terakhir Dr Md Farid
Dalam perkembangan sama, Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mukhriz Mahathir turut menzahirkan rasa sedih dan terkejut dengan perkhabaran terbabit awal pagi tadi.
Jelas Mukhriz, Allahyarham adalah seorang individu yang sangat komited dengan kementerian dan parti selain senang didekati rakyat.
"Saya sangat terkejut menerima berita yang sedih itu, sebelum ini pun beliau kerap datang ke Kedah, dalam program kementerian dan Allayarham adalah seorang yang baik hati, sangat senang didekati, mudah kira lah orang kata kan," katanya di majlis yang sama.
Ahli Parlimen Tanjung Piai tersebut dilaporkan menghembuskan nafas terakhir di Hospital Pontian kira kira jam 6 pagi tadi dipercayai akibat serangan jantung.
Dr Md. Farid sebelum ini memenangi kerusi Parlimen Tanjung Piai pada Pilihan Raya Umum ke-14, selepas menewaskan penyandangnya, Datul Seri Wee Jeck Seng dari Barisan Nasional dengan memperoleh 21,255 undi.
#Ahli Parlimen Tanjung Piai #Barisan Nasional #Dr Md Farid #Mahathir Mohamad #Malaysia #meninggal dunia #menteri #Mukhriz Mahathir #P Waytha Moorthy #Perdana Menteri #perpaduan #pilihan raya #pilihan raya umum #PPBM