Pemergian Prof Ungku Aziz: Agong, Permaisuri zahir takziah kepada keluarga Allahyarham

Nursyazwani Saiful Sham
Disember 15, 2020 12:32 MYT
Allahyarham dilaporkan menghembus nafas terakhir pada jam 4.30 petang di Hospital Prince Court di ibu negara akibat sakit tua.
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz yang meninggal dunia pada petang Selasa.
Menerusi kenyataan Istana Negara, Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan berharap agar seluruh keluarga Allahyarham sabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana pilu ini.
"Seri Paduka Baginda berdua amat menghargai khidmat bakti dan jasa Allahyarham kepada masyarakat dan negara.
"Seri Paduka Baginda berdua turut menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai kehilangan besar kepada negara.
"Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin," menurut kenyataan itu.
Sumber Facebook IstanaNegaraOfficial
Terdahulu, Allahyarham dilaporkan menghembus nafas terakhir pada jam 4.30 petang di Hospital Prince Court di ibu negara akibat sakit tua.
BACA: Prof Diraja Ungku Abdul Aziz meninggal dunia
BACA: Pemergian Prof Ungku Aziz: Permaisuri Agong berkenan berangkat ke Masjid At-Taqwa
#Yang di-Pertuan Agong #meninggal dunia #keluarga #Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah #Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz