Pemergian Tun Abdul Taib: Sarawak berkabung dua hari

Rudi Affendi Khalik
Februari 21, 2024 00:06 MYT
Kerajaan Sarawak mengisytiharkan perkabungan selama dua hari pada 21 dan 22 Februari sebagai menghormati pemergian bekas Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud.
KUCHING: Kerajaan Sarawak mengisytiharkan perkabungan selama dua hari pada 21 dan 22 Februari sebagai menghormati pemergian bekas Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud.
Menurut kenyataan rasmi Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Abu Bakar Marzuki, semua majlis rasmi yang melibatkan acara-acara hiburan hendaklah ditangguhkan.
“Bendera hendaklah dikibarkan separuh tiang,” katanya menerusi notis ringkas kepada seluruh penjawat awam di Sarawak.
Abdul Taib, 87 tahun, menghembuskan nafas terakhirnya di Kuala Lumpur pada jam 4.28 pagi tadi, dan akan dibawa ke Kuching sekitar jam 1 tengah hari ini.
Jenazah Alalhyarham akan ditempatkan di kediamannya di Demak Jaya sebelum dibawa ke Dewan Undangan Negeri Sarawak pada jam 8 pagi esok untuk penghormatan terakhir.
Jenazah Allahyarham Abdul Taib dijadualkan akan disemadikan di Tanah Perkuburan Demak Jaya, berhampiran kediamannya selepas solat Zohor, esok.
#Tun Abdul Taib Mahmud #Abdul Taib Mahmud meninggal dunia #Sarawak berkabung dua hari #Demak Jaya