Pemerhati antarabangsa pantau PRU14 tiba di Malaysia

Bernama
Mei 7, 2018 02:38 MYT
Datuk K. Bala Singam (tengah) mengiringi kumpulan pertama pemerhati antarabangsa dari Maldives bagi memantau penjalanan proses PRU14 di KLIA hari ini. --fotoBERNAMA
Pemerhati antarabangsa dari sembilan negara mula tiba di Malaysia hari ini bagi memantau penjalanan proses Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei ini.
Kumpulan pertama pemerhati dari Maldives yang diketuai Pengerusi Election Commission of Maldives Ahmed Shareef, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini pada 7.20 pagi tadi.
Ketibaan mereka disambut Anggota Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk K. Bala Singam.
Kumpulan pemerhati dari Thailand dijangka tiba pada 12.15 tengah hari, diikuti pemerhati dari Azerbaijan pada 3.30 petang.
Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah sebelum ini berkata SPR menjemput 25 pemerhati antarabangsa bagi memantau perjalanan proses PRU14 iaitu dari Azerbaijan, India, Indonesia, Kemboja, Kyrgyztan, Maldives, Pakistan, Thailand dan Uzbekistan.
Selain itu, SPR turut melantik 1,236 pemerhati pilihan raya daripada 14 badan bukan kerajaan (NGO) tempatan untuk memantau proses pilihan raya itu.
-- BERNAMA
#antarabangsa #KLIA #Maldives #Mohd Hashim Abdullah #pemerhati #pilihan raya umum #PRU14 #Suruhanjaya Pilihan Raya