Pemeriksaan lebih ketat di 13 SJR bermula esok - Polis KL

Bernama
Mei 24, 2021 09:57 MYT
Antara yang akan dilaksanakan ialah pemeriksaan lebih terperinci ke atas dokumen kebenaran rentas negeri atau daerah yang dikeluarkan pihak berkuasa dan majikan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Polis Kuala Lumpur akan mengetatkan kawalan di 13 sekatan jalan raya (SJR) sedia ada bermula esok, seiring pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang lebih ketat bagi mengekang penularan COVID-19.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata antara yang akan dilaksanakan ialah pemeriksaan lebih terperinci ke atas dokumen kebenaran rentas negeri atau daerah yang dikeluarkan pihak berkuasa dan majikan.
"Polis akan mengekalkan 13 SJR sedia ada di Kuala Lumpur dan Putrajaya, namun dengan pemeriksaan lebih terperinci," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Sementara itu, beliau berkata pihaknya bersedia untuk mengatur gerak anggota bagi memantau dan membantu agensi berkaitan jika ada lokaliti lain dikenakan PKP Diperketatkan (PKPD) selain dua lokaliti semasa iaitu Kampung Batu Muda Tambahan dan Projek Perumahan Rakyat Kampung Limau.
Buat masa ini, polis membantu Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat mengagihkan bekalan makanan kering selain melakukan pemeriksaan di sekitar kawasan di dua lokaliti berkenaan, katanya.
Dua lokaliti itu diletakkan di bawah PKPD bermula semalam hingga 5 Jun ini.
-- BERNAMA
#Sekatan Jalan Raya #SJR lebih ketat #perintah kawalan pergerakan #PKP 3 0 #COVID-19 #Putrajaya #Kuala Lumpur