PUTRAJAYA: Kerajaan akan meningkatkan peruntukan khusus untuk pelaksanaan vaksin COVID-19 di negara ini kepada RM5 bilion, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam perutusan khas hari ini, beliau berkata, ia merupakan sebahagian daripada Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) bernilai RM20 bilion, dengan suntikan fiskal RM11 bilion.

Ia merupakan peningkatan peruntukan, yang sebelum ini ditetapkan sekitar RM3 bilion melalui Belanjawan 2021 yang dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada November lepas.

"Bagi fokus pertama, iaitu mengawal penularan COVID-19, Kerajaan sedang melaksanakan pelbagai tindakan kesihatan awam untuk membendung COVID-19 di samping memulakan Program Imunisasi
COVID-19 Kebangsaan. Setakat ini, lebih 300 ribu rakyat telah pun menerima suntikan pertama vaksin.

"Kerajaan akan menaikkan peruntukan bagi program imunisasi daripada RM3 bilion kepada RM5 bilion untuk mempercepatkan sasaran imunisasi berkelompok pada Disember 2021, berbanding sasaran awal
iaitu pada suku pertama tahun 2022," katanya lagi.

[SIDANG MEDIA] Pengumuman khas #PEMERKASA oleh Perdana Menteri


Bagi mencapai sasaran tersebut, Perdana Menteri berkata, 15 ribu petugas akan ditempatkan di hampir 950 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara.

Mengambil kira pertambahan tugas tersebut, tambahnya lagi, Kerajaan bersetuju untuk memanjangkan Bantuan Khas COVID-19 dengan kadar RM200 sebulan kepada petugas penjawat awam yang terlibat dalam program imunisasi di PPV berkenaan.

Berdasarkan perincian yang diberikan, peruntukan itu akan dipecahkan kepada dua, RM3.5 bilion untuk vaksin, dan RM1.5 bilion untuk Program Imunisasi.

Dengan peruntukan baharu itu, yang akan bermula Disember 2021, ia akan meliputi sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk di negara ini, serta 40 peratus untuk stok penimbal.

BACA: Ikuti perkembangan berita terkini vaksin COVID-19 di sini.