KULAI: Agenda pemerkasaan industri perfileman negara menjadi antara fokus utama Kementerian Komunikasi menerusi Belanjawan 2027, kata Timbalan Menteri Teo Nie Ching.
Beliau berkata perincian Belanjawan 2027 membabitkan Kementerian Komunikasi hanya dapat dimaklumkan selepas mesyuarat rasmi bersama Kementerian Kewangan (MOF) yang dijadualkan berlangsung minggu depan.
Teo berkata beberapa perbincangan awal secara tidak rasmi telah dilakukan bersama pihak MOF berhubung hasrat kementerian itu.
"Satu daripada perkara yang kami telah kemukakan kepada MOF... bukan secara bentuk mesyuarat rasmi tetapi ada sedikit perbincangan, iaitu kita berharap bahawa kita boleh memberi sokongan lebih besar kepada industri perfileman di Malaysia.
"Kami tengah usahakan, jadi saya tak mahu buat pengumuman dahulu kerana nak pastikan (dahulu) apabila kita dapat (nanti). Tetapi memang satu daripada permintaan ataupun side meeting talk kami pernah berbincang bagaimana kita boleh memberi sokongan kepada industri filem tempatan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir meninjau kerja-kerja pembinaan Kuil Sri Maha Mariamman Kampung Baru Sengkang, di sini semalam.
Mengenai jumlah peruntukan dimohon kementerian dalam Belanjawan 2027, Teo berkata ia tertakluk kepada kemampuan kewangan kerajaan.
Beliau berkata keutamaan kementerian ialah untuk memastikan pengenalan pelbagai dasar yang berkesan bagi menyokong pertumbuhan ekosistem industri berkenaan.
"Bagi kami adalah bagaimana kita boleh melalui pelbagai dasar untuk memastikan bahawa industri sebahagiannya di bawah ekonomi jingga ini dapat dijaga dan juga terus menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kita," katanya.
Mengenai tinjauan semalam, Teo memaklumkan pihak pengurusan kuil berkenaan telah membuat permohonan di bawah peruntukan Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) pada 2024 dan menerima peruntukan sebanyak RM248,560 pada 2025.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kulai turut menyampaikan bakul makanan kepada 20 keluarga B40 dan golongan memerlukan di kawasan tersebut dengan kerjasama pihak pengurusan kuil.
-- BERNAMA