Skip to main content

Malaysia

Pemerkasaan pelancongan komuniti, produk tempatan tingkat ekonomi DUN Rim - ADUN

MELAKA, 21 Jun -- Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (tiga, kiri) menyerahkan bendera Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim Datuk Khaidirah Abu Zahar (tengah) sebagai simbolik tuan rumah seterusnya untuk WRUR Parlimen Jasin pada majlis penutupan Program WRUR Parlimen Kota Melaka di Telok Mas malam tadi.
Kemeriahan Majlis Perasmian Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) peringkat Parlimen Jasin: Kampung Kita oleh Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusoh di Jasin, pada Ahad. - Gambar Bernama
Advertisement

JASIN: Pembangunan pelancongan komuniti antara inisiatif dilaksanakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim bagi memperkasakan ekonomi masyarakat luar bandar, kata Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan itu, Datuk Khaidirah Abu Zahar

Beliau berkata, inisiatif lain ialah pengukuhan perusahaan tempatan serta penyediaan lebih banyak peluang menjana pendapatan kepada masyarakat kawasan itu.

“Satu daripada inisiatif pembangunan pelancongan komuniti ialah penganjuran program berskala besar seperti Jamboree Mountain Bike Challenge yang kini memasuki tahun ketiga dan berjaya menarik lebih 1,000 peserta termasuk dari Singapura, Indonesia dan Thailand,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) peringkat Parlimen Jasin: Kampung Kita oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, di sini, pada Ahad.

Khaidirah berkata, DUN Rim turut menjadi tuan rumah kepada pelbagai program kerjasama dengan institusi pengajian tinggi termasuk Program Baktisiswa yang membuka peluang kepada peserta dari luar Melaka mengenali kawasan berkenaan serta produk tempatan.

Beliau berkata, kawasan berkenaan memiliki pelbagai potensi ekonomi yang boleh diketengahkan termasuk perusahaan batik, produk berasaskan cili, tanaman jagung dan nanas, industri makanan tradisional serta sektor inap desa yang semakin berkembang.

"Kita mahu masyarakat luar bandar bukan sahaja mempunyai kelangsungan hidup lebih baik, malah mampu meningkatkan taraf ekonomi dan sosial mereka.

"Yang penting ialah nilai kehidupan di desa perlu diangkat sebagai satu keistimewaan kerana kawasan luar bandar mempunyai pelbagai potensi untuk dibangunkan," katanya.

Khaidirah berkata pihaknya turut bekerjasama rapat dengan agensi seperti Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia bagi membantu pengusaha tempatan meningkatkan kualiti produk, memperkukuh aspek pemasaran dan memperluas akses ke pasaran lebih besar.

Pada masa sama, beliau mahu lebih banyak agensi berkaitan turun padang bagi melihat sendiri potensi di kawasan itu sekali gus membantu pengusaha kecil agar mereka dapat berkembang.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement