KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menyangkal dakwaan 'kartel' oleh pihak tertentu terhadap agensi itu berhubung pemilihan syarikat pelancongan sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH).

Menurut Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, pemohonan PJH yang berlesen dibuka setiap tahun mengikut syarat yang ditetapkan.

"Syarat-syarat pemilihan PJH yang ditetapkan adalah bagi memastikan syarikat-syarikat pelancongan tempatan memiliki kapasiti yang teguh serta mampu memberikan perkhidmatan Haji yang terbaik termasuklah mampu menjaga rapi kebajikan jemaah Haji Malaysia.

"Oleh itu, dakwaan ‘kartel’ adalah sama sekali tidak benar dan tidak berasas. Mana-mana syarikat boleh memohon untuk menjadi PJH berlesen di bawah TH dan dipilih apabila memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan," tegasnya dalam satu kenyataan media pada Selasa.

Ujarnya, sistem pemilihan itu telah diguna pakai sejak tahun 2000 dan ditambah baik secara berkala setiap tahun.

Bagi permohonan lesen PJH tambah Syed Saleh, ia dibuka setiap tahun dan ditutup pada 1 Ramadan. Malah 10 kriteria turut diperiksa dan dinilai oleh TH kepada setiap syarikat pelancongan sebelum sebarang kelulusan diberi.

Antara syaratnya, berpengalaman mengendalikan umrah tiga tahun berturut-turut, Rekod Bank Negara Malaysia melalui Pusat Sistem Maklumat Rujukan Kredit (CCRIS) yang mengandungi maklumat kewangan Pengarah Syarikat, Pemegang Saham dan Pengurusan Syarikat.

Turut dinilai, laporan juruaudit yang bersih untuk dua tahun terkini, laporan kewangan syarikat tiga tahun terakhir, modal berbayar sekurang-kurangnya RM500,000, lulus penilaian umrah oleh Pejabat TH di Arab Saudi serta tiada kes mahkamah semasa.

Dalam pada itu, Syed Saleh turut memaklumkan dua PJH baharu dipilih pada tahun ini, iaitu Az Zuha Group Travel and Tours Sdn Bhd dan Mimm Travel and Tours Sdn Bhd.