Pemilihan semula ketiga-tiga naib presiden UMNO dalam pemilihan parti semalam merupakan pengiktirafan terbaik terhadap peranan dan sumbangan mereka kepada parti dan kerajaan selama ini.

Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata keputusan itu juga jelas menunjukkan perwakilan akar umbi mahukan kesinambungan kepimpinan parti diteruskan.

"Ini adalah satu isyarat daripada perwakilan akar umbi bahawa mereka ingin melihat kesinambungan dari segi usaha membawa transformasi kepada kerajaan dan parti.

"Saya rasa ini satu pengiktirafan, peranan yang dimainkan oleh ketiga-tiga naib presiden dalam memperkukuhkan UMNO," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program 'Mental Health Walk bersama Langkah Ceria @ Putrajaya' bertemakan "Kesejahteraan Mental Melalui Amalan Gaya Hidup Sihat" di sini hari ini.

Dalam pemilihan semalam, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memperoleh 185 undi, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (174 undi) dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (100 undi) untuk mempertahankan jawatan naib presiden.

Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata ketiga-tiga pemimpin itu selain mempunyai pengalaman luas, juga begitu serasi dengan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam menjayakan agenda transformasi negara.

Katanya, para perwakilan ternyata yakin dengan kepimpinan mereka dalam memantapkan kedudukan parti dan kerajaan selepas pilihan raya umum ke-13 (PRU13) Mei lalu.

"Perwakilan menganggap mereka sebagai 'safe hands' ataupun orang yang selamat yang dapat kita sandarkan harapan untuk menjaga kestabilan kerajaan kita. Saya ucapkan tahniah," katanya.

Ditanya persaingan sengit antara Hishammuddin dengan Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir yang mendapat 91 undi, Khairy berkata: "Mungkin isyarat yang dihantar oleh akar umbi adalah bahawa walaupun mereka ingin melihat kesinambungan, tetapi mereka mungkin memberi peringatan kepada sesiapa yang memegang jawatan.

"Jangan sesekali 'take for granted', ataupun leka dan juga ambil mudah mandat dan amanah yang diberi oleh akar umbi, bahawa mereka boleh buat perubahan pada bila-bila masa".