Pemilihan UMNO Bahagian Johor Bahru diambil alih UMNO Johor - Mohamed Khaled
Bernama
April 1, 2023 15:10 MYT
April 1, 2023 15:10 MYT
JOHOR BAHRU: Pemilihan UMNO Bahagian Johor Bahru yang masih ditangguh dan digantung sejak 18 Mac lepas, akan diambil alih proses pemilihannya oleh Badan Perhubungan UMNO negeri, kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Sebelum ini, proses pemilihan UMNO dikendalikan oleh Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU).
Mengesahkan perkara itu, Mohamed Khaled yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor berkata Setiausaha Badan Perhubungan Datuk Abdul Halim Suleiman akan dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan pemilihan bahagian itu.
"...Setiausaha (Abdul Halim) akan lihat dan bincang kesesuaian masa dan memastikan perjalanan mesyuarat semula itu dapat dilakukan dengan baik.
"Kita seboleh-bolehnya mahu dilakukan segera tetapi kita ambil kira sekarang ni bulan Ramadan dan bahagian ini tak macam bahagian lain yang hanya libatkan ketua tapi nampaknya libatkan semua sekali (ahli jawatankuasa), jadi perlu bincang.
"Kita tidak mahu nanti yang datang segelintir, jadi kalau kita buat, kita hendak semua boleh datang, (tak mahulah) kalau pemilihan itu (sudah berlaku) berlaku 'rumah dah siap, pahat masih berbunyi'," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Badan Perhubungan UMNO Johor Penggal 2023/2026 di sini hari ini.
Turut hadir, barisan kepimpinan badan perhubungan UMNO Johor yang baharu.
Pada 18 Mac lepas, proses pemilihan UMNO Bahagian Johor Bahru ditangguh dan digantung selepas berlaku dakwaan bahawa kertas undi melebihi daripada jumlah perwakilan yang hadir.
Keputusan tersebut dibuat Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Johor Bahru Azmi Samin selepas dimaklumkan Pengerusi JPU Bahagian Johor Bahru Sonawan Mad Som.
Pemilihan UMNO Bahagian Johor Bahru adalah antara UMNO Bahagian yang menjadi perhatian apabila penyandangnya Tan Sri Shahrir Abd Samad mengumumkan tidak bertanding pada pemilihan kali ini.
Jawatan Ketua Bahagian itu menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Naib Ketua Pemuda UMNO Mohd Hairi Mad Shah dan bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru Datuk Yahya Jaafar.
-- BERNAMA