KUCHING: Pemilik anjing di Sarawak perlu mendapatkan lesen haiwan pemeliharaan itu daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) atau berdepan dengan hukuman denda, kata Menteri Muda Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Michael Tiang Ming Tee.

Menurutnya, pemilik anjing yang ingkar memohon lesen berkenaan boleh dikenakan denda maksimum RM5,000 seperti diperuntukkan mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan dan Kawalan Anjing 2018.

Di samping itu, katanya, ia adalah digalakkan pemilik mendapatkan pelesenan dan pemasangan cip mikro sebagai sebahagian daripada program pemvaksinan anjing secara besar-besaran.

"Setakat ini, sebanyak 24,241 anjing berlesen didaftarkan di seluruh Sarawak dengan 2,104 anjing berlesen dipasang cip mikro.

"Sebaik sahaja kami bebas daripada penyakit rabies dan sekiranya anjing anda hilang atau diambil oleh pihak majlis, kakitangan yang diberi kuasa akan dapat mengimbas anjing itu untuk mendapatkan nombor cip mikro supaya maklumat pemilik diambil dari pusat data untuk membolehkan mengenal pasti anjing dan pemiliknya," katanya, dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, Tiang berkata penyakit rabies masih berleluasa di Sarawak dan oleh itu semua anjing perlu diberi vaksin.

Beliau berkata semua anjing mesti diberi vaksin setahun sekali, termasuk anak anjing yang berusia lebih empat bulan.

"Hanya dengan mencapai liputan 70 peratus daripada jumlah populasi anjing di Sarawak yang diberi vaksin, kita boleh berharap untuk memutuskan rantaian virus Rabies dan membendung penyakit itu," katanya.

-- BERNAMA