AMPANG: Seramai tujuh individu termasuk seorang pemilik sebuah bengkel cat kenderaan di Taman Keramat di sini ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes curi komponen kenderaan pada 2 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya menahan seorang lelaki warga tempatan dan enam lelaki warga asing berusia 21 hingga 60 tahun di sekitar Ampang pada Rabu.

Menurut beliau, kejadian terbongkar selepas seorang ahli perniagaan berusia 50 tahun menghantar sebuah kereta Proton Putra ke bengkel tersebut pada 12 Disember lalu.

"Mangsa datang semula ke bengkel itu pada jam 12.30 tengah hari pada 2 Januari lalu dan mendapati beberapa komponen keretanya hilang dipercayai dicuri," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Tambah beliau, antara komponen yang hilang ialah unit kawalan elektronik (ECU), kabel plug, dash kamera, bateri kereta dan 'plug cover'.

"Pada hari yang sama, mangsa terus mengambil keretanya kerana bimbang ada barang lain akan hilang," katanya.

Beliau berkata, suspek warga tempatan yang ditahan reman sehingga Ahad dibebaskan dengan jaminan polis manakala enam suspek warga asing masih ditahan reman sehingga 19 Januari bagi membantu siasatan.

"Kertas siasatan dalam peringkat akhir untuk dilengkapkan sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut," katanya.

Mohamad Farouk memaklumkan kes itu disiasat mengikut Seksyen 379(1) Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1)(c), Seksyen 39 (b) dan Seksyen 55 (b) Akta Imigresen.

* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.