ALOR SETAR: Pemilik hotel bajet di Taman Anggerik, di sini dikompaun RM10,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) menjalankan operasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Timbalan Ketua Polis Kota Setar, Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, dalam pemeriksaan yang dilakukan oleh pasukan pemantau COVID, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar pukul 10.30 malam tadi mendapati, hotel berkenaan melanggar arahan PKPD yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katatanya, tindakan kompaun dikeluarkan terhadap lelaki berusia 60 tahun yang juga pemilik hotel terbabit.

Dalam pada itu, pemeriksaan ke atas bilik hotel turut mengesan seorang wanita warganegara Thailand berumur 36 tahun yang mendaftar sebagai pelanggan.

Pemeriksaan polis turut mendapati dokumen perjalanan wanita itu juga telah tamat tempoh dan dia ditahan untuk tindakan lanjut.

Mohd Redzuan berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 15(1) Akta Imigresen 1959/63.



Selain itu, polis turut menemui pasangan berusia 20-an yang berada di dalam sebuah kenderaan yang diletakkan di hadapan hotel terbabit.

Pasangan itu turut dikenakan kompaun RM2,000 setiap seorang kerana tidak mematuhi SOP PKPD.

Menurut Mohd Redzuan, sejak hari pertama PKPD dilaksanakan di Kota Setar, sebanyak sembilan kompaun telah dikeluarkan yang membabitkan pelbagai kesalahan dan ketidak patuhan kepada SOP PKPD.

Beliau berkata, kebanyakan kesalahan itu adalah berkumpul dan menikmati minum di kawasan kediaman.