[INFO BANJIR] Dapatkan info terkini cuaca dan banjir seluruh negara
MALAYSIA

Pemilik kedai emas RM100,000 ditipu bukti pembayaran palsu

Bernama 27/11/2025 | 13:37 MYT
Mangsa curiga selepas menerima satu lagi tempahan daripada suspek untuk membeli barang kemas pada Rabu.
DUNGUN: Seorang pemilik kedai emas kerugian RM144,060 selepas ditipu dengan bukti palsu pembayaran pembelian jongkong emas secara dalam talian melalui aplikasi WhatsApp, Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata mangsa yang berusia 63 tahun mendakwa suspek membuat pembayaran itu untuk tiga jongkong emas jenis 999.9 seberat 253.63 gram.

"Tiga jongkong emas itu diserahkan kepada seorang lelaki yang mendakwa pekerja kepada pembeli di premis mangsa pada 5.24 petang Selasa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Maizura berkata mangsa curiga selepas menerima satu lagi tempahan daripada suspek untuk membeli barang kemas semalam.

Susulan itu, mangsa membuat pengesahan bayaran terdahulu di sebuah bank di sini namun dimaklumkan ia dibuat menggunakan cek terapung dan transaksi tersebut tidak sah.

Pada kes berasingan di JERTIH, seorang ahli perniagaan berusia 33 tahun kerugian RM287,000 selepas menjadi mangsa pembelian lori tidak wujud, tiga tahun lepas.

Ketua Polis Daerah Besut ACP Azamuddin Ahmad @ Ali berkata lelaki itu mendakwa berkenalan dengan suspek di sebuah kedai makan di Kampung Padang Luas di sini melalui abang iparnya pada awal 2022.

"Mangsa membuat pembayaran pertama RM50,000 pada April 2022 untuk membeli dua lori dan dimaklumkan kenderaan itu telah didaftarkan selepas selesai menjelaskan bayaran menerusi sembilan transaksi," katanya.

Azamuddin berkata mangsa bagaimanapun mendapati nombor pendaftaran diberikan suspek tidak wujud selepas membuat semakan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Mangsa membuat laporan pada Selasa lepas, kerana gagal menghubungi suspek beberapa kali sehingga menyebabkan dia berasa ditipu.

Siasatan dua kes itu dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

#penipuan #jongkong emas #pemilik kedai emas #bukti palsu pembayaran #polis