Sebuah kedai emas di Seksyen 7, di sini, kerugian kira-kira RM5 juta apabila dipecah masuk sekumpulan perompak pada Jumaat.

Kejadian bagaimanapun hanya disedari pemilik kedai emas itu hari ini sejurus mahu memulakan perniagaan selepas bercuti selama seminggu sempena Aidilfitri.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata kumpulan penjenayah memasuki kedai emas itu kira-kira pukul 2 pagi melalui saluran angin di bahagian belakang premis.

Katanya lagi, sebaik memasuki premis tersebut, kumpulan penjenayah itu bertindak mematikan sistem penggera keselamatan sebelum menebuk bilik kebal dan empat peti besi yang menyimpan barangan kemas.

Berdasarkan penelitian awal polis, kumpulan penjenayah ini sangat terlatih kerana bukan sahaja semua alat keselamatan dimatikan, tetapi mereka juga tahu secara tepat lokasi bilik kebal dan cara bilik kebal serta peti besi ditebuk.

"Kedai emas ini telah dipecah masuk melalui belakang menggunakan lubang blower. Mereka kemudian masuk ke kawasan terowong pintu bilik kebal yang menyimpan barang kemas sebelum membukanya.

"Dalam bilik kebal itu ada empat peti besi yang berjaya dibuka dan semua barang barang kemas di dalamnya telah dilarikan," kata Baharudin pada sidang media di lokasi kejadian siang tadi.

Menurut Baharudin, polis sedang meneliti rakaman CCTV di premis sekitar lokasi kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.