Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
MALAYSIA

Pemilik kilang ais terkenal Kelantan curi air didenda RM50,000

Sinar Harian 17/11/2025 | 05:30 MYT
Mohamad Yusrid (dua, kanan) berjalan masuk ke bilik mahkamah. - Foto Sinar Harian
KOTA BHARU: Seorang pemilik kilang ais terkenal di Kelantan didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas pertuduhan melakukan sambungan air secara haram bagi tujuan operasi pemprosesan ais batu di premisnya.


Ringkasan AI
  • Pemilik kilang ais terkenal di Kelantan didenda RM50,000 atas kes sambungan air haram untuk operasi kilang, selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen.
  • Hakim menegaskan kesalahan mencuri air adalah serius dan perlu dijadikan pengajaran kepada pengusaha lain, dengan menekankan pentingnya membayar bil air.
  • Pemeriksaan pihak AKSB menemui sambungan haram yang menyebabkan kerugian air kepada syarikat sebanyak RM41,337.20 dan tertuduh akan dipenjara 17 bulan jika gagal membayar denda.


Hakim, Nik Habri Muhamad mengenakan denda itu terhadap tertuduh, Mohamad Yusrid Mohd Yusof, 34, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Nik Habri menegaskan kesalahan mencuri air adalah serius dan perlu dijadikan pengajaran kepada pengusaha lain.

“Ini syarikat besar, tak ada sebab untuk tidak membayar bil air.

“Hukuman ini sebagai amaran agar perbuatan seperti ini tidak berulang,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Yusrid didakwa sebagai penghuni di tapak kilang tersebut, secara menyalahi undang-undang membuat sambungan ke paip air perkhidmatan tanpa kebenaran daripada pemegang lesen iaitu syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).

Kesalahan didakwa dilakukan di Jalan Padang Tembak, Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa di sini pada 7 Jun 2018.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

Berdasarkan fakta kes, pemeriksaan pihak AKSB menemui satu sambungan haram menggunakan paip polietilena berdensiti tinggi bersaiz 32 milimeter yang ditanam di bawah lapisan konkrit.

Sambungan itu menyalurkan air terawat ke dua buah tangki simpanan iaitu di luar premis dan di dalam bangunan yang menjadi sumber utama pemprosesan ais batu.

Ujian klorin terhadap sampel air dari sambungan tidak sah dan sampel dari tangki simpanan premis menunjukkan tindak balas kimia positif yang menukar warna air daripada jernih kepada merah jambu, sekali gus mengesahkan air dirawat AKSB.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Suhaidariah Ahmad yang mengendalikan kes memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana kesalahan itu dilakukan bagi tujuan komersial oleh sebuah syarikat yang mempunyai keupayaan kewangan selain memberi kesan kepada kadar air tidak berhasil negeri.

“Kesalahan berlaku selama 17 bulan dan mengakibatkan kerugian air kepada AKSB dianggarkan sebanyak RM41,337.20,” katanya.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bela bagaimanapun merayu hukuman denda dikurangkan.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda tersebut dan memerintahkan tertuduh dipenjara 17 bulan sekiranya gagal membayarnya. - Sinar Harian




#kes curi air #kilang ais #kilang ais kelantan curi air #hukuman denda