Belasungkawa Allahyarham Bung Moktar Radin | Ikuti Perkembangan Terkini Perjalanan Terakhir di sini
MALAYSIA

Pemilik pusat sauna didenda RM8,000 kerana dedah risiko HIV, miliki bahan lucah

Bernama 05/12/2025 | 13:00 MYT
Tujuh individu didakwa atas pertuduhan memiliki bahan lucah dalam telefon bimbit masing-masing di premis Unique Two Recreation Centre, Jalan Perai Jaya 4, Perai, pada 7 malam, 29 November lepas. - Gambar Bernama
BUKIT MERTAJAM: Seorang pemilik pusat sauna didenda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana mendedahkan orang lain kepada risiko jangkitan HIV dan memiliki bahan lucah dalam telefon bimbitnya.


Ringkasan AI
  • Pemilik pusat sauna didenda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret kerana mendedahkan orang lain kepada risiko jangkitan HIV dan memiliki bahan lucah dalam telefon bimbit.
  • Pemilik pusat disabitkan kerana menghidap penyakit HIV dan mendedahkan orang lain kepada risiko jangkitan di premis Unique Two Recreation Centre.
  • Tiga lelaki lain turut dibicarakan atas pertuduhan kelucahan dan memiliki bahan lucah dalam telefon bimbit, dengan tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 21 Januari.


Majistret Roshayati Radellah menjatuhkan hukuman itu selepas Khor Yik Keian, 57, mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu dan memerintahkan lelaki berkenaan dipenjara lapan hingga 10 bulan jika gagal membayar denda.

Khor didakwa mempunyai sebab untuk percaya bahawa dirinya menghidap penyakit berjangkit HIV dan mendedahkan orang lain kepada risiko jangkitan melalui perbuatannya di premis Unique Two Recreation Centre, Jalan Perai Jaya 4, Perai di sini, pada 7 malam, 29 Nov lepas.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 12(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(a) akta sama.

Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa memiliki bahan lucah berupa gambar dan video dalam telefon pintarnya mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun, denda atau kedua-duanya.

Pemilik pusat sauna itu didenda RM5,000 atau 10 bulan penjara jika gagal membayar denda bagi pertuduhan pertama manakala bagi pertuduhan kedua, dia didenda RM3,000 atau lapan bulan penjara jika gagal membayar denda.

Sementara itu, di mahkamah sama tiga lelaki Syed Al Aisy Syed Alfarley, 19, Teoh Wan Seong, 37, dan Ahmad Safwan Razali, 33, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan melakukan perbuatan kelucahan melampau terhadap Mohamad Azuddin Sabran, 58, dan Khor di pusat sauna berkenaan, mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Mahkamah membenarkan ketiga-tiga lelaki itu masing-masing diikat jamin RM12,000 bagi dua pertuduhan berkenaan.

Syed Al Aisy, Ahmad Safwan, Teoh, warga China Luo Yun, 41, A. A Mathiyalagan, 31, dan Mohd Redduwan Zairukaperi, 48, turut didakwa atas pertuduhan memiliki bahan lucah dalam telefon bimbit masing-masing di lokasi, tarikh dan masa sama, mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara hingga tiga tahun, denda atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan itu, Syed Al Aisy, Ahmad Safwan serta Teoh mengaku tidak bersalah dan masing-masing dibenarkan jaminan RM3,000, manakala Luo Yun, Mathiyalagan dan Mohd Redduwan pula masing-masing didenda RM5,000 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Mahkamah menetapkan 21 Jan depan untuk sebutan semula kes.

Kesemua pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Shuhada Rosli manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Joseph Cheong, Shamila dan Chiang Kian Hong.

Media sebelum ini melaporkan polis menahan 13 lelaki dalam serbuan di sebuah premis kedai tiga tingkat di Bandar Perai Jaya pada hujung bulan lepas kerana disyaki terlibat aktiviti menyalahi undang-undang.

-- BERNAMA


#HIV #Mahkamah Majistret #penyakit berjangkit #penjara maksimum