PETALING JAYA:Seorang pemilik restoran ditahan polis selepas dipercayai meliwat dan merogol seorang  wanita warga asing yang yang baru tiga hari dikenalinya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata,  tangkapan itu dibuat susulan laporan polis yang dibuat mangsa selepas berjaya melarikan diri daripada suspek.

Beliau berkata, berdasarkan keterangan awal, mangsa hanya mengenali suspek yang merupakan seorang pemilik restoran Arab pada 28 Oktober lalu.

Katanya, ketika mangsa berada di rumahnya di Ara Damansara, di sini, kira-kira pukul 10.30 malam, 31 Oktober lalu, tiba-tiba suspek muncul bersama bungkusan makanan dan minuman keras.

"Kira-kira dua jam kemudian, suspek yang mabuk memaksa mangsa untuk mengadakan hubungan seks namun ditolak mangsa.

"Berang ajakan untuk melakukan hubungan intim ditolak, suspek bertindak menampar mangsa sebelum merogol dan meliwat wanita yang berusia 25 tahun ," katanya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.

Nik Ezanee menambah, suspek itu dilaporkan mengajak mangsa untuk mandi sekali sambil menyatakan wanita itu adalah isterinya.
 
Apabila suspek tertidur, katanya, mangsa yang bekerja sebagai operator perkhidmatan pelanggan di sebuah syarikat pelancongan itu melarikan diri ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan.

Nik Ezanee polis kini menahan reman lelaki warga asing dari Timur Tengah itu selama tujuh hari bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 377 kanun yang sama atas kesalahan meliwat.

Suspek yang berusia 31 tahun itu juga disiasat atas satu lagi pertuduhan mendatangkan kecderaan kepada mangsa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.