[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

Pemilik syarikat didenda RM60,000 buat laporan penyata kewangan palsu

Bernama 11/09/2025 | 12:15 MYT
Hakim Siti Shakirah Mohtarudin menjatuhkan hukuman itu ke atas Chong Sook Mei, 43, yang merupakan Orang Kena Saman (OKS). - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Pemilik syarikat perundingan dan pengurusan perniagaan didenda RM60,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah membuat laporan penyata kewangan palsu untuk tiga syarikat pembinaan, enam tahun lepas.

Hakim Siti Shakirah Mohtarudin menjatuhkan hukuman itu ke atas Chong Sook Mei, 43, yang merupakan Orang Kena Saman (OKS).

Sekiranya denda gagal dibayar dia boleh dihukum penjara sembilan bulan. OKS membayar denda itu.

Mengikut tiga pertuduhan, Chong didakwa membuat penyata palsu kepada Pendaftar Syarikat berkenaan kandungan 'Independent Auditors' Report' pada halaman 10 dalam Laporan Penyata Kewangan bagi tahun berakhir 31 Ogos 2018 dan 31 Dis 2018 untuk tiga syarikat pembinaan tersebut, dengan dokumen itu perlu diserah simpan di bawah Seksyen 259 (1) Akta Syarikat 2016 (Akta 777).

Kesalahan itu dilakukan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di sini pada 3 Okt dan 5 Nov 2019, mengikut Seksyen 593(b) Akta Syarikat 2016 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM3 juta atau kedua-duanya.

Kes itu dikendalikan Pegawai Pendakwa SSM Nurul Nabila Azmi manakala OKS diwakili peguam Gabriel Susayan dan Faiz Taqiuddin Rusdi.

-- BERNAMA


#Mahkamah Sesyen #penyata kewangan #hukuman penjara #syarikat pembinaan