Pemilikan hartanah Bumiputera meningkat, kerajaan perkukuh sokongan pembiayaan

Aiman berkata trend ini secara keseluruhannya menunjukkan peningkatan dan pemilikan yang signifikan. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Trend pemilikan hartanah dalam kalangan Bumiputera menunjukkan peningkatan positif dengan nilai transaksi mencecah RM34.9 bilion pada tahun 2023, berbanding RM34.69 bilion pada 2022.
Ringkasan AI
- Nilai pemilikan hartanah Bumiputera meningkat kepada RM34.9 bilion pada 2023, meskipun jumlah transaksi menurun berbanding tahun sebelumnya.
- Kerajaan perkenal Pelan Putra 35 dan pelbagai inisiatif pembiayaan, termasuk SJKP, RTO, Step-Up Financing dan pelepasan cukai untuk bantu pemilikan rumah.
- Prinsip MADANI tekankan hak perumahan untuk semua, dengan komitmen memperkukuh penyertaan Bumiputera dalam pasaran hartanah negara.
Beliau menyatakan demikian ketika menjawab soalan Mohd Nazri Abu Hassan (PN–Merbok) di Dewan Rakyat pada Isnin, berhubung langkah kementerian dalam menggalakkan pemilikan rumah dalam kalangan Bumiputera.
“Trend ini secara keseluruhan menunjukkan peningkatan signifikan dan penyertaan aktif Bumiputera dalam pasaran hartanah,” katanya.
Aiman Athirah turut menjelaskan bahawa di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, kerajaan telah memperkenalkan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (Putra 35) sebagai agenda menyeluruh untuk memperkukuh ekonomi Bumiputera berasaskan nilai, akhlak dan integriti.
Beliau menegaskan bahawa prinsip Kerajaan MADANI menekankan hak setiap rakyat untuk memiliki rumah, sama ada melalui pemilikan atau sewaan, tanpa ada yang tertinggal.
Mengulas cabaran utama pemilikan rumah, beliau menyatakan bahawa aspek pembiayaan kekal sebagai halangan utama, dan kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memudahkan rakyat memiliki kediaman.
Antara inisiatif yang diperkenalkan termasuk:
- Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP): Menyediakan jaminan pembiayaan sehingga RM500,000 bagi pembelian rumah pertama untuk golongan B40 dan M40.
- Skim Sewa Untuk Dibeli (Rent to Own, RTO): Dilaksanakan di tujuh negeri - Kedah, Kelantan, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Selangor, Terengganu dan Wilayah Persekutuan.
- Step-Up Financing: Membolehkan bayaran bulanan rendah pada awal tempoh pinjaman, yang meningkat secara berperingkat selaras dengan pertambahan pendapatan peminjam.
- Kempen Pemilikan Rumah (Home Ownership Campaign) 2.0: Dilanjutkan hingga 2027 seperti diumumkan dalam Belanjawan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
- Pelepasan cukai individu: Sehingga RM7,000 bagi pembelian rumah pertama bernilai RM500,000, dan RM5,000 bagi rumah bernilai antara RM500,000 hingga RM750,000.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami