PEMILU: Semua calon presiden dan naib presiden disahkan sihat - KPU

Fuad Misbah
Mei 25, 2014 00:32 MYT
Pilihan Raya Umum Indonesia akan dilanjutkan dengan pemilihan calon presiden dan naib presiden pada Julai mendatang. - AP Photo
Suruhanjaya Pilihan Raya Indonesia (KPU) mengumumkan pada Sabtu bahawa kedua-dua pasangan calon Presiden dan Naib Presiden Joko Widodo-Jusuf Kalla dan Prabowo Subianto-Hatta Rajasa telah lulus pemeriksaan kesihatan yang diwajibkan.
"Keputusan pemeriksan kesihatan yang telah dilakukan ke atas mereka oleh Ikatan Doktor Indonesia (IDI) telah menunjukkan kedua-dua pasangan calon sihat dan mampu bertugas sebagai presiden dan naib presiden sekiranya terpilih," kata Pengarah KPU, Husni Kamil Manik di ibu pejabat KPU di Jakarta Pusat, Jakarta, Indonesia.
Memetik laporan portal berita Kompas, keputusan pemeriksaan kesihatan yang telah dijalankan terhadap Joko Widodo-Jusuf Kalla dan Prabowo Subianto-Hatta Rajasa menunjukkan mereka sihat secara fizikal dan psikologi.
Pemeriksaan kesihatan itu melibatkan lebih 50 orang doktor dari IDI termasuk pakar psikologi. Pemeriksaan meliputi ujian fizikal dan psikiatri serta ujian makmal.
Jokowi-Kalla adalah regu calon pertama yang melalui ujian kesihatan itu Khamis lalu diikuti oleh pasangan Prabowo-Hatta pada keesokan harinya.
Pemeriksaan kesihatan itu dilakukan di Hospital Besar Angkatan Tentera Darat Gatot Subroto, Jakarta dan dilaporkan kos pemeriksaan kesihatan calon presiden dan naib presiden Indonesia ini menelan belanja lebih RM40,000 bagi setiap pasangan calon.
#Joko Widodo #Jusuf Kalla #Pemilu #pemilu 2014 #pilihan raya umum Indonesia #Prabowo Subianto