MALAYSIA

Pemimpin agama harus bersatu berhadapan golongan tolak agama - PM Anwar

Seth Akmal 28/08/2025 | 09:15 MYT
Anwar hadir di Persidangan Kemuncak Antarabangsa Pemimpin Agama Kali Kedua Pemimpin: Peranan pemimpin agama dalam menyelesaikan konflik di sini hari ini. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
SUBANG JAYA: Semua pemimpin pelbagai agama seharusnya bersatu berdepan dengan golongan yang menolak untuk beragama (ateis), kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Ringkasan AI
  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru semua pemimpin agama agar bersatu menentang golongan yang menolak konsep keimanan dan nilai agama, termasuk golongan ateis dan fundamentalis sekular.
  • Beliau menegaskan bahawa ekstremisme bukan hanya wujud dalam kalangan penganut agama, tetapi juga dalam kalangan mereka yang menolak sebarang bentuk kepercayaan.
  • Anwar turut menyatakan bahawa kekurangan kefahaman terhadap agama menyumbang kepada prejudis dan kebencian, serta menyeru pemimpin agama agar lebih tegas menyuarakan nilai keadilan dan kemanusiaan sejagat.


Perdana Menteri turut berkata kesatuan tersebut bertujuan untuk mempertahankan nilai kemanusiaan serta memahami maksud sebenar agama.

Beliau juga berpendapat golongan ekstrem bukan dalam kalangan yang beragama sahaja namun terdapat golongan yang ekstrem dalam menolak konsep beragama.

“Semua agama mesti bersatu sekurang-kurangnya untuk membina persefahaman menentang golongan yang menolak sebarang bentuk keimanan dan nilai. Kita mesti bersatu menentang kekuatan yang menolak agama secara keseluruhan.

“Golongan ekstrem yang tanamkan kebencian dan fundamentalisme melampau bukan sahaja dalam kalangan penganut agama.

“Malah ada juga (golongan) fundamentalist dalam kalangan penganut sekular yang tidak sanggup mendengar perkataan agama atau iman,” katanya.

Anwar berkata demikian semasa menyampaikan ucaptama di Persidangan Kemuncak Antarabangsa Pemimpin Agama Kali Kedua Pemimpin: Peranan pemimpin agama dalam menyelesaikan konflik, di sini hari ini.

Beliau juga berpendapat pandangan sedemikian wujud kerana kurang kefahaman mengenai agama menyebabkan timbul perasaan prejudis terhadap agama.

‘Tiada kefahaman tentang apa itu kebenaran, keadilan, kemanusiaan.. maka kerana itu, ada yang membenci agama lain, tetapi bila ditanya, mereka sebenarnya tidak tahu apa-apa tentangnya,” katanya.

Perdana Menteri turut memuji inisiatif persidangan ini dalam mencapai kesepakatan tentang peranan pemimpin agama namun menyeru agar golongan agamawan lebih tegas dalam menyatakan pandangan mereka.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Na’im Mokhtar, Setiausaha Agung Liga Dunia Muslim, Mohammad Abdulkarim Al-Issa dan pemimpin-pemimpin agama dari seluruh dunia.




#Anwar Ibrahim #pemimpin agama #golongan yang menolak agama #golongan ekstrem