MALAYSIA
Pemimpin belia berumur lebih 30 tahun boleh pegang jawatan sehingga pemilihan baharu

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bercakap pada sesi jawab lisan sempena Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat Parlimen ke-15 Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pemimpin belia yang melebihi umur 30 tahun selepas tarikh had umur belia berkuat kuasa pada 1 Jan 2026 boleh terus memegang jawatan sehingga mesyuarat agung pemilihan baharu pertubuhan diadakan.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata namun begitu, pemimpin belia berkenaan tidak boleh dicalonkan semula sepertimana yang diperuntukkan mengikut Seksyen 6 Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 (Akta A1602).
"Untuk ahli-ahli belia, mulai 1 Jan 2026, selaras dengan pindaan Akta 668 melalui Akta A1602, ahli biasa yang tidak memegang jawatan dalam pertubuhan belia yang mencapai atau melebihi umur 30 tahun, tidak layak lagi sebagai ahli biasa pertubuhan belia dan hilang kelayakan untuk mengundi dan diundi dalam mesyuarat agung tahunan pemilihan.
"Namun, mereka boleh terus terlibat sebagai penasihat, mentor, fasilitator, penggerak dan pekerja belia atau alumni tertakluk kepada perlembagaan pertubuhan."Dalam aspek ini, Kementerian Belia dan Sukan telah membuat sesi libat urus dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) untuk kita menyenangkan pertubuhan belia, pemegang jawatan atau ahli mereka yang mencecah usia 30 tahun untuk transisi ke persatuan-persatuan lain yang berdaftar di bawah ROS," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) mengenai situasi selepas seseorang pemimpin belia melepasi usia 30 tahun setelah akta berkenaan berkuat kuasa pada 1 Jan 2026.
Sementara itu, menjawab soalan asal Yii, Hannah berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah mengambil beberapa inisiatif bagi memudahkan transisi pindaan had umur belia daripada 40 kepada 30 tahun.
Beliau berkata antaranya termasuklah penubuhan Jawatankuasa Kerja Transisi yang dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim, pelaksanaan Bicara Transisi Belia, Bengkel Tadbir Urus, Program Pengurusan Organisasi (PPO), Program Kembara Jumpa Orang Muda (Kembara JOM) serta pensijilan profesionalisme kerja belia.
Katanya, berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, jumlah belia berumur 15 hingga 30 tahun adalah sebanyak 9.5 juta orang atau 27.9 peratus daripada populasi negara, manakala bilangan pemegang jawatan dalam pertubuhan belia pada tahun ini berjumlah 99,271 orang, dengan 53.99 peratus atau 53,606 orang daripadanya di bawah umur 30 tahun.
"Penguatkuasaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 memberikan kesan kepada pentadbiran dan kepimpinan dalam 8,272 pertubuhan belia berdaftar di bawah Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY)," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami