Pemimpin DAP: Tiada keistimewaan kepada VIP di jalan raya

Aizat Sharif
September 28, 2013 04:00 MYT
Seorang pemimpin DAP berpendapat bahawa tiada keistimewaan perlu diberikan dalam memberi laluan kepada golongan VIP seperti Menteri-menteri kabinet mahupun pengawal pengiring dalam urusan harian di jalan raya.
Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua berkata, hak menggunakan jalan raya perlu diberikan sama rata kepada semua rakyat tanpa mengira pangkat atau darjat.
Menurut Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu, semua pengguna jalan raya mempunyai keperluan yang sama untuk sampai ke destinasi atau urusan kerja tepat pada waktu dan tidak ada laluan khas perlu diberikan kepada mana-mana kumpulan.
“Kita tidak perlu memberi keistimewaan kepada menteri-menteri sedia ada dan selain itu juga, ini menunjukkan kita tidak mempunyai sistem pengangkutan yang baik maka pengguna jalan raya turut sama menggunakan kenderaan persendirian memenuhi jalan raya,” kata Tony kepada Astro AWANI.
Tony menambah, keistimewaan yang diberikan itu kepada orang kenamaan atau VIP itu mungkin disalahgunakan untuk memastikan kelancaran perjalanan ke mana saja meskipun tiada keperluan untuk berbuat demikian.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek baru-baru ini yang dilaporkan menggesa pengguna jalan raya supaya memberi laluan kepada pengawal bermotosikal yang mengiringi keluarga di-raja dan golongan VIP ketika di jalan raya.
Menurutnya, mereka yang diiringi oleh pengawal bermotosikal itu mempunyai tugasan rasmi untuk dilaksanakan dan perlu tiba ke destinasi dalam masa yang ditetapkan.
Gesaan tersebut dibuat berikutan terdapat aduan bahawa pengguna jalan raya tidak begitu memberi kerjasama kepada polis pengiring berkenaan.
Mengulas lanjut, kata Tony, kenyataan itu wajar datang daripada seorang menteri yang sepatutnya "prihatin dengan masalah orang ramai dan bukannya untuk kepentingan diri sendiri sahaja."
Sementara itu, sumber polis berkata penggunaan pengawal bermotosikal yang kebanyakkan adalah anggota polis trafik hanya digunakan untuk mengiringi golongan DiRaja seperti Yang Di-Pertuan Agong dan Sultan dan termasuk Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.
Penggunaanya bagaimanapun tidak diperluaskan kepada menteri-menteri kabinet melainkan hanya ketika khidmat mereka benar-benar diperlukan seperti untuk tugasan rasmi seperti lawatan kerja ke destinasi tertentu dalam masa yang cepat.
#Darjat #diraja #Hasan Malek #Jalanraya #Pangkat #VIP