MALAYSIA

Pemimpin NGO, ahli akademik Malaysia kecam 'Lembaga Keamanan' Trump

Farhan Hakimi 28/01/2026 | 13:39 MYT
Objektif utama Board of Peace ialah untuk merealisasikan hasrat Trump yang jelas dinyatakan, iaitu menukar Gaza menjadi destinasi mewah berteknologi tinggi yang digelar 'Gaza Riviera'. - Reuters
KUALA LUMPUR: Beberapa pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) dan ahli akademik Malaysia mengecam inisiatif 'Board of Peace' atau 'Lembaga Keamanan' yang digagaskan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini, mereka berkata badan itu bukanlah inisiatif keamanan, sebaliknya merupakan kaedah kuasa yang direka untuk mengabsahkan perampasan tanah.

Antara lain, mengkomersialkan kemusnahan, dan mengaburi pelanggaran undang-undang antarabangsa dengan projek pembangunan hartanah.

Ujar kenyataan lagi, dengan Trump melantik dirinya sebagai pengerusi dan memberi kuasa untuk memilih penggantinya, beliau membina sebuah badan yang tiada mandat demokrasi, akauntabiliti undang-undang atau pengiktirafan antarabangsa.

"Objektif utama Board of Peace ialah untuk merealisasikan hasrat Trump yang jelas dinyatakan, iaitu menukar Gaza menjadi destinasi mewah berteknologi tinggi yang digelar 'Gaza Riviera'.

"Pendekatan ini mengurangkan usaha pembinaan semula wilayah yang musnah, yang sepatutnya memberi hak kepada Palestin untuk menjadi sebuah negara, kepada sekadar transaksi hartanah," ujar kenyataan.

Tambah kenyataan itu, tindakan itu memperlakukan tanah sebagai aset untuk dijadikan sumber keuntungan, dan manusia pula sebagai perkara yang boleh diurus, manakala hak, persetujuan, dan kedaulatan rakyat Palestin sama sekali tidak diambil kira.

"Di bawah model ini, masa depan Gaza dirancang bukan untuk penduduknya, tetapi untuk golongan kaya global.

"Rakyat Palestin diletakkan sebagai tenaga kerja yang boleh dibuang, manakala Trump, sekutunya, dan pelabur bersedia untuk memiliki, mengawal, dan meraih keuntungan daripada tanah, infrastruktur, dan aktiviti ekonomi," kata kenyataan itu lagi.

Kenyataan itu turut menyebut, cadangan pembangunan ini diumumkan tanpa kehadiran, pengetahuan atau persetujuan wakil politik Palestin, masyarakat sivil, atau komuniti terjejas, sekali gus menyalahi norma antarabangsa berkaitan hak menentukan nasib sendiri dan tadbir urus inklusif.

"Mana-mana inisiatif yang mengutamakan infrastruktur mewah dan pelaburan spekulatif sambil mengabaikan kemiskinan meluas dan krisis kemanusiaan bukanlah pelan keamanan ia adalah pelanggaran moral," tegas mereka.

Masyarakat global juga diingatkan supaya tidak menyertai sebarang skim yang menutupi tindakan perampasan dengan pembangunan dan eksploitasi sebagai keamanan, dan sebarang penglibatan akan dianggap sebagai bersubahat.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Pengerusi Eksekutif POLITY & Penasihat Kehormat Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR), Nurul Izzah Anwar, Pengerusi Bersama Ahli Parlimen untuk Hak Asasi Manusia rantau ASEAN (APHR), Charles Santiago, Pengarah Eksekutif Third World Network (TWN), Chee Yoke Ling, Profesor Fakulti Undang-undang & Hubungan Antarabangsa, Universiti Sultan Zainal Abidin, Prof. Dr. Mohd Afandi Salleh, Presiden MAHAR, Jismi Johari, Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meenakshi Raman dan Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader.

#Lembaga Keamanan #Donald Trump #Gaza #Palestin #akauntabiliti