Pemimpin parti politik menghadap Agong esok

Faris Danial Razi
Ogos 16, 2021 13:42 MYT
Suasana di hadapan Istana Negara ketika pengamal media berkumpul menanti kehadiran Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Semua pemimpin parti politik akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada Selasa.
Memetik laporan Utusan Malaysia, perjumpaan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan perbincangan berhubung calon Perdana Menteri ke-9.
Menurut sumber, perjumpaan tersebut dijangka berlangsung pada jam 2.30 petang yang juga akan turut disertai oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim.
Ini termasuk pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang juga diminta bersiap sedia bagi menyuarakan pandangan mereka berhubung siapa yang patut menerajui kerajaan baharu, susulan kejatuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
[LAPOR LANGSUNG] Agong perkenan peletakan jawatan Muhyiddin, lantik beliau PM 'caretaker'
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong telah memperkenan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin menerusi kenyataan Istana Negara, susulan peletakan jawatan ini, Baginda berkenan supaya Muhyiddin menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri 'caretaker' sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.
Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri selepas mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong ketika menghadap Baginda di Istana Negara pada Isnin.
Tindakan itu diambil selepas 15 Ahli Parlimen UMNO menarik sokongan terhadapnya sebagai Perdana Menteri dan kerajaan PN.
#Dewan Negara #Dewan Rakyat #Malaysia #Muhyiddin Yassin #Pakatan Harapan #Perdana Menteri #Rais Yatim #Yang di-Pertuan Agong #Istana Negara