Pemimpin PH jangan emosi, pesanan Rafizi ada asasnya - Setiausaha Agung PKR

Mohd Dzulfitri Md Yusuf
Disember 20, 2018 00:11 MYT
Bercakap selepas program Agenda AWANI, Saifuddin berkata, penurunan sokongan terhadap PH merentasi kaum dan ia memberi peluang kepada pembangkang meniupkan isu perkauman dan keagamaan sempit hingga tenggelam agenda reformasi sebenar. - Astro AWANI
Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berpendapat pemimpin Pakatan Harapan (PH) perlu terbuka dalam menerima ‘pesanan’ Rafizi Ramli.
Menurutnya, kenyataan Rafizi mempunyai asas yang kukuh berlandaskan kepada tinjauan kajian yang dilakukan secara konsisten oleh pertubuhan bukan kerajaan INVOKE Malaysia yang diasaskannya.
“Apabila Rafizi menulis mengenai sokongan terhadap PH menurun, dia memberikan asas-asasnya.
"Saya fikir pemimpin PH perlu menerima teguran Rafizi ini secara terbuka, tidak boleh emosional,” kata Saifuddin
Saifuddin yakin Rafizi dapat merasakan PH seakan hilang fokus dalam menunaikan tanggungjawab dan ini memberikan kesan kepada paling besar, khususnya pada sokongan orang Melayu.
“Sebenarnya, penurunan sokongan ini merentasi kaum, dan ini memberikan peluang kepada pembangkang meniupkan isu perkauman dan keagamaan sempit, hingga menenggelamkan agenda reformasi sebenar,” tambah Saifuddin.
Rafizi pada 19 Disember berkongsikan kaji selidik dan profailing bulanan yang dijalankan INVOKE Malaysia, yang mendapati masyarakat kini mula mempersoalkan pentadbiran PH.
TONTON : Kembalikan populariti Pakatan Harapan
BACA: Kerajaan gandakan usaha penuhi janji pilihan raya - Tun Mahathir
Rafizi turut mengingatkan bahawa PH perlu komited untuk menunaikan janji-janji ekonomi dan tidak melunturkan keyakinan rakyat dengan melayan situasi pemimpin pembangkang yang lompat parti.
#agenda #ekonomi #hilang #Invoke #janji #kaji selidik #lompat parti #Malaysia #Melayu #Pakatan Harapan #pembangkang #PKR #Rafizi Ramli #rakyat #reformasi #Saifuddin Nasution Ismail #Setiausaha Agung