JOHOR BAHRU: Seramai 11 ahli sindiket ah long yang disyaki melakukan perbuatan khianat membaling cat merah dan molotov cocktail di rumah peminjam ditahan dalam beberapa siri serbuan selama dua hari di sekitar bandar raya ini.

Serbuan berkenaan dilakukan sepasukan anggota dari Bahagian D7 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan dan IPD Johor Bahru Utara antara jam 4 petang Jumaat hingga 4.30 petang Sabtu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, mereka yang ditahan berusia di antara 19 dan 46 tahun terdiri daripada 10 lelaki termasuk seorang lelaki warga Indonesia dan seorang wanita tempatan.

"Sebahagian daripada suspek yang ditahan menerima upah RM450 untuk menyimbah cat merah dan RM800 bagi melakukan khianat dengan api di rumah dan kenderaan mangsa ah long.

"Sebahagian lagi merupakan peminjam ah long tetapi tidak dapat melangsaikan hutang dan dipaksa untuk membaling cat buat khianat dengan api untuk melangsaikan hutang," katanya ketika sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru di sini pada Ahad.

Jenayah | 11 ahli sindiket ah long tumpas

Katanya, kesemua suspek yang ditahan itu daripada dua sindiket yang berbeza dan mereka bekerja dengan sindiket pinjaman wang tanpa lesen tersebut dan melakukan perbuatan khianat sejak Mei lalu.

"Siasatan awal setakat hari ini telah berjaya menyelesaikan 13 kes simbah cat merah dan khianat dengan api melibatkan 10 kes di daerah Johor Bahru, Batu Pahat, Muar dan Kota Tinggi dan tiga kes di Seremban, Negeri Sembilan," ujarnya.

Beliau berkata, menerusi hasil serbuan berkenaan pihaknya merampas antaranya 17 telefon bimbit, wang tunai RM1,295, tiga buah kereta, sebuah motosikal dan 10 plastik berisi cat merah.

"Modus operandi sindiket itu dengan mengiklankan tawaran pinjaman ah long antara SG$1,000 hingga SG$3,000 menerusi Facebook dengan menyasarkan peminjam dalam kalangan mereka yang bekerja di Singapura.

"Apabila peminjam memberi maklumat peribadi berkaitan akaun bank dan alamat tempat tinggal, sindiket terus memasukkan wang ke dalam akaun mereka walaupun belum memberi persetujuan.

"Kemudian sindiket akan memaksa peminjam untuk membuat pembayaran dengan mengenakan kadar faedah yang tinggi dan jika enggan membayar, sindiket akan membuat ugutan sebelum melakukan perbuatan khianat itu bagi menakutkan peminjam dan keluarganya," katanya.

Kamarul Zaman berkata, kes simbah cat disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan manakala kes khianat dengan api mengikut Sesyen 435 Kanun Keseksaan.

"Semua suspek direman selama seminggu bermula Sabtu mengikut Seksyen 117 Kanun Keseksaan," katanya. -Sinar Harian