MALAYSIA

Pemisahan kuasa, tanah rizab Melayu dan pasaran karbon jadi fokus hari pertama sidang Parlimen

Astro Awani 05/10/2025 | 23:20 MYT
Sidang Dewan Rakyat ini dijadual berlangsung selama 35 hari sehingga 4 Disember, dengan pelbagai isu dasar dan kebajikan dijangka terus dibahaskan. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Isu pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta pembangunan tanah rizab Melayu menjadi antara tumpuan utama pada hari pertama Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen Ke-15 Dewan Rakyat yang bermula hari ini.


Ringkasan AI
  • Ahli Parlimen Kota Bharu meminta penjelasan Perdana Menteri mengenai status cadangan pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
  • Pembangunan tanah rizab Melayu di Kuala Lumpur dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Padang Serai, manakala Ahli Parlimen Bangi menekankan keperluan memperkukuh akses keadilan wanita melalui digitalisasi Mahkamah Syariah dan pemodenan prosedur guaman.
  • Ahli Parlimen Paya Besar meminta penjelasan mengenai kesiapsiagaan ekosistem dagangan karbon dan senarai MoU bilateral yang dimeterai berdasarkan komitmen NDC di bawah Perjanjian Paris.


Menurut aturan urusan mesyuarat yang disiarkan di laman rasmi Parlimen, Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, meminta Perdana Menteri menyatakan status terkini cadangan pemisahan kuasa antara dua jawatan tersebut.

Dalam sesi sama, Ahli Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin, membangkitkan isu pembangunan tanah rizab Melayu di Kuala Lumpur, termasuk di Kampung Baharu.

Beliau mempersoalkan cabaran ketara yang dihadapi, dan meminta penjelasan berhubung faktor seperti pemilikan tanah bertindih serta nilai pasaran yang terhad.

Isu akses keadilan wanita turut disentuh oleh Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan, yang meminta Perdana Menteri menjelaskan usaha kerajaan dalam memperkukuh perlindungan hak wanita dalam kes kekeluargaan.

Antara langkah yang dibangkitkan termasuk digitalisasi Mahkamah Syariah dan pemodenan prosedur guaman.

Sementara itu, Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah, menggesa Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam menjawab beberapa perkara berkaitan pasaran karbon negara.

Ini termasuk tahap kesiapsiagaan ekosistem dagangan karbon serta senarai memorandum persefahaman (MoU) bilateral yang telah dimeterai berdasarkan komitmen NDC di bawah Artikel 6.2 Perjanjian Paris.

Sidang Dewan Rakyat ini dijadual berlangsung selama 35 hari sehingga 4 Disember, dengan pelbagai isu dasar dan kebajikan dijangka terus dibahaskan.








#Dewan Rakyat #isu pemisahan kuasa #pembangunan tanah rizab Melayu #pasaran karbon negara