Skip to main content

Malaysia

Pemotong sawit didakwa sebabkan kematian pelajar kolej vokasional

FB ORANG AWAM
Kedua-dua tertuduh didakwa menyebabkan kematian dan kecederaan dua pelajar Kolej Vokasional Pertanian Teluk Intan, minggu lepas. - Gambar fail

TELUK INTAN: Seorang pemotong sawit warga Indonesia hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas dua pertuduhan, iaitu menyebabkan kematian dan kecederaan dua pelajar Kolej Vokasional Pertanian Teluk Intan, minggu lepas.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Sutiyono, 39, kerana dia mempunyai masalah pendengaran dan tidak memahami Bahasa Melayu.

Advertisement

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 ketika kejadian, didakwa memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Adham Faisal, 18, yang menunggang motosikal jenis Honda Vario.

Bagi kesalahan kedua, dia didakwa melakukan perbuatan sama sehingga menyebabkan kecederaan kepada seorang lagi pelajar, Muhammad Mu’ammar Ismail, 18.

Sutiyono didakwa melakukan kedua-dua kesalahan di Lorong Haji Abdul Rashid Kampung Selabak di sini pada 8.10 pagi 9 Mac lepas.

Pertuduhan pertama dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dan denda RM50,000 jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mengikut Seksyen 42(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun dan denda RM15,000, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Darwis Aghniya Halim Azizi menawarkan jaminan RM8,000 dengan dua penjamin warga Malaysia bagi kedua-dua pertuduhan berserta syarat tambahan lesen memandu Sutiyono dirampas sehingga kes selesai.

Peguam S. Francis pula memohon agar jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya mempunyai tanggungan anak dan ibu bapa di Indonesia, hanya bekerja sebagai pemotong sawit serta mempunyai masalah pendengaran.

Majistret Naidatul Athirah Azman kemudian menetapkan jaminan RM5,000 dengan dua penjamin iaitu seorang warga Malaysia dan majikan tertuduh, serta menetapkan 28 April ini untuk sebutan semula kes bagi melantik jurubahasa isyarat, jurubahasa Indonesia selain mendapatkan laporan bedah siasat.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video