MALAYSIA

Pempengaruh 'CEO Batu' didakwa lakukan amang seksual terhadap kanak-kanak

Bernama 10/07/2025 | 04:15 MYT
Muhamad Iqbal (kanan), atau lebih dikenali sebagai CEO Batu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun, Mei lepas. -Bernama
KUALA LUMPUR: Seorang pempengaruh media sosial dikenali sebagai 'CEO Batu' mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun, Mei lepas.


Ringkasan AI
  • Seorang pempengaruh media sosial dikenali sebagai 'CEO Batu' mengaku tidak bersalah atas pertuduhan amang seksual bukan fizikal terhadap kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun pada 16 Mei lalu.
  • Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(a)(1) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibenarkan ikat jamin RM6,000 dengan syarat tambahan termasuk melaporkan diri di balai polis dan tidak mengganggu mangsa.
  • Mahkamah menetapkan 14 Ogos untuk sebutan semula kes, dan tertuduh kini tidak bekerja serta menjaga datuknya yang sakit jantung.


CEO Batu atau nama sebenarnya Muhamad Iqbal Muhamad, 22, didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal ke atas kanak-kanak tersebut yang ketika kejadian berusia 13 tahun 10 bulan di sebuah unit kediaman di Sunway Batu Caves pada 1.16 pagi, 16 Mei lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 15(a)(1) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda boleh sampai RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nadiah Malek Fauzie menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin kerana kes tersebut tular dan tertuduh merupakan seorang pempengaruh.

Peguam Mohd Anif Rafih yang mewakili Muhamad Iqbal memohon jaminan RM6,000 atas alasan anak guamnya kini tidak bekerja dan akaun media sosialnya telah disekat oleh pihak berkuasa.

"Tertuduh menjaga datuknya yang menghidap penyakit jantung dan perlu menjalani rawatan setiap bulan di Institut Jantung Negara.

"Dia juga bersedia dikenakan syarat tambahan seperti melaporkan diri di balai polis, penahanan pasport dan tidak mengganggu saksi pendakwaan kerana telefonnya turut telah dirampas," katanya.

Hakim Norshila Kamarudin membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu mangsa dan melaporkan diri di balai polis sebulan sekali sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 14 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA




#amang seksual #CEO Batu #Muhamad Iqbal Muhamad #pempengaruh media sosial