MALAYSIA

Pempengaruh didenda RM40,000 buat hantaran video jelik beri sisa makanan kepada gelandangan

Bernama 29/01/2026 | 08:59 MYT
OKS yang tidak diwakili peguam merayu denda minimum dan memaklumkan telah insaf atas kesalahan selain sudah membuat permohonan maaf. - Bernama
KUANTAN: Seorang pempengaruh media sosial didenda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah memulakan penghantaran video jelik menerusi media sosial memaparkan tiga remaja lelaki memberikan nasi bersama tulang ayam kepada seorang gelandangan yang tidur di kaki lima.

Tang Sie Luk, 23, selaku Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sazlina Safie yang turut memerintahkan lelaki itu dipenjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda. Tang membayar denda tersebut.

Lelaki itu didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi Instagram menerusi satu akaun dengan secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi iaitu video yang jelik melampau dengan niat untuk menganiayai mana-mana orang.

Hantaran itu dilihat di Pusat Khidmat Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Semambu, di Lorong Sekilau 58, Jalan Haji Ahmad, di sini kira-kira 12 tengah hari pada 4 Ogos 2025.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (2) akta sama.

Seksyen 233 (2) AKM 1998 memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM5,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Terdahulu, OKS yang tidak diwakili peguam merayu denda minimum dan memaklumkan telah insaf atas kesalahan selain sudah membuat permohonan maaf.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Fadhli Ab Wahab memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat sebagai pengajaran bukan sahaja kepada lelaki itu tetapi juga masyarakat agar tidak mengulangi kesilapan sama.

"Mangsa sendiri telah mengatakan terasa dihina dan marah akibat perbuatan OKS. Perbuatan memberi sisa makanan (sisa ayam) kepada mangsa bukan bertujuan kebajikan, sebaliknya dilakukan dalam konteks rakaman video bagi kandungan media sosial, yang jelas menunjukkan unsur eksploitasi penderitaan manusia demi hiburan, perhatian dan tontonan awam," katanya.

Berdasarkan fakta kes, OKS yang juga individu yang berada dalam video tersebut dan memberi tulang ayam kepada seorang gelandangan di Jalan Wong Ah Fook, Johor Bahru, Johor selain mengesahkan telah muat naik kandungan berkenaan menggunakan peranti komunikasi miliknya.

Sebelum ini, tular menerusi media sosial video berdurasi lebih satu minit memaparkan tiga remaja lelaki memberikan nasi bersama tulang ayam kepada seorang gelandangan yang tidur di kaki lima.

-- BERNAMA

#pempengaruh #denda #mahkamah #gelandangan diberi sisa makanan #eksploitasi